Kuala Lumpur: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) menegur sikap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang bagaikan tidak memahami masalah sebenar industri penerbitan TV dan filem dalam membuat kenyataan berkenaan isu-isu dibangkitkan industri berkenaan
Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, Akta 244 Finas mengawal selia industri perfileman dengan semua syarikat penerbitan diwajibkan mempunyai lesen bagi menerbitkan program TV tempatan. Manakala, Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 membabitkan semua sektor pekerjaan termasuk sektor industri kreatif.
“Sebagai syarikat yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 2016 sudah tentu setiap syarikat penerbitan TV diurus tadbir dengan baik dan mengikut lunas undang-undang negara.
“Isu yang dibangkitkan pelakon, Sharnaaz Ahmad perlu dilihat dalam konteks kenapa ia berlaku? Sebagai agensi yang bertanggungjawab, Finas perlu memandang berat supaya dapat dikenal pasti puncanya lalu mencari
penyelesaian bukan hanya mengeluarkan kenyataan umpama melepaskan batuk di tangga.
“Perkara ini sudah berlarutan sekian lama tanpa diambil sebarang tindakan proaktif. PTVM juga mengenalpasti banyak masalah industri yang tiada penyelesaian kerana setiap kali bertukarnya kepimpinan Finas, industri perlu datang memberikan taklimat supaya Ketua Pengawai Eksekutif faham dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Perkara ini membabitkan ekosistem yang tidak pernah diwujudkan oleh agensi yang sepatutnya bertanggungjawab, walaupun Finas ditubuhkan pada 12 Februari 1981 dan industri TV swasta diwujudkan sejak tertubuhnya TV3 dan RTM membuka slot program swasta pada 1984,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Menurut Jurey, Ketua Pegawai Eksekutif Finas sepatutnya dilantik dalaam kalangan profesional berkelayakan sama ada lantikan dalaman atau luaran, berpengalaman melalui temuduga terbuka, bukan lantikan politik semata-mata.
“Industri menerima padah apabila Ketua Pegawai Eksekutif adalah lantikan politik yang sering bertukar, kurang memahami industri dan tiada memberikan tumpuan dalam menentukan hala tuju Finas.
“Akhirnya, tumpuan Ketua Pegawai Eksekutif lebih kepada agenda mempromosikan diri dengan merasmikan program dan terbabit dalam aktiviti politik lalu meninggalkan kerja hakiki. Baca akta 244 Finas untuk lebih jelas peranan Ketua Pegawai Eksekutif dan fungsi Finas yang sebenarnya.
“Isu besar industri yang membabitkan syarikat penerbitan seperti kos semakin meningkat sehingga syarikat mendapat margin sangat rendah, kadar bayaran stesen TV yang masih rendah, artis dipilih stesen TV dan terlalu mahal, artis ambil kerja bertindih, artis datang lambat, artis lari tinggalkan set, penerbit tidak bayar artis dan kru, artis dan kru ‘dilenjan’ di set dan banyak lagi isu yang berlarutan sekian lama seolah tidak pernah diselesaikan oleh Finas.
Jurey berkata, ini adalah hakikat sebenar industri yang perlu diberikan perhatian segera oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. Berapa lama lagi industri perlu lalui segala cacamarba dan ketidakadilan akibat ketidaksempurnaan sistem?
Terdahulu, Sharnaaz dikatakan berang dengan tindakan syarikat produksi yang masih mengamalkan jadual penggambaran tidak menentu hingga pelakon dan kru ‘lunyai’ akibat bekerja lebih masa.
Menerusi hantaran dibuat dalam Instagram Story baru-baru ini, Sharnaaz meluahkan kemarahannya terhadap sebuah syarikat produksi yang didakwa menjalani penggambaran memakan masa hingga 20 jam sehari.
Kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif Finas Prof Dr Md Nasir Ibrahim dalam kenyataan dikeluarkan berkata, agensi berkenaan tidak mempunyai kuasa perundangan berhubung isu kerja lebih masa yang membabitkan penggiat seni.
Ia berikutan, Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244) tidak boleh mengatasi peruntukan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 dalam aspek jumlah waktu bekerja yang berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu.
kreadit : hmetro.com