Kuala Lumpur: Walaupun sudah empat tahun pemergian penyanyi Melissa iaitu Mohd Radzi Abdul Hamid, pemain bass kumpulan itu, Ajak masih tidak dapat melupakan apabila Radzi berulang kali memohon keampunan Allah sebelum menghembus nafas terakhir.
Dalam kejadian pada malam 23 Disember 2018 itu, Radzi atau Ustaz Radzi yang menjayakan persembahan bersama Melissa di program Hiburan Santai Seniman anjuran Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Panggung Anniversari, di sini, tiba-tiba rebah di atas pentas sebelum meninggal dunia.
“Semasa ustaz Radzi rebah, tiada benda lain yang dia cakap kecuali ‘Ya Allah Ya Tuhanku, ampunilah segala dosa-dosaku’. Itu yang dia cakap berulang kali ketika diangkat ke surau di belakang pentas,” katanya.
Allahyarham menjadi artis terakhir mengadakan persembahan bersama rakan lamanya dalam kumpulan Melissa iaitu Ajak dan pemain gitar, Boy.
Menurut Ajak, jika diikutkan Radzi merancang untuk membuat persembahan pada pertengahan 2018 anjuran sebuah persatuan hiburan.
“Tapi dia mahukan anggota asal Melissa iaitu Boy (gitar), Keff (gitar) dan Ozzy (dram) serta dua anggota lagi dari album ketiga.
“Saya tertanya-tanya juga apa matlamatnya. Macam pelik juga kerana nak kumpulkan semua agak masalah kerana ada yang tak sependapat. Dia kata nak cuba. Dari Kedah dia ke Raub, Pahang jumpa Keff. Dia suruh saya pujuk Boy dan Ozzy,” katanya.
Ajak berkata, Keff tidak bersetuju menyertai mereka, manakala Ozzy terikat dengan tugas sebagai anggota polis dan mereka meneruskan rancangan dengan anggota yang ada.
“Kami ambil Joy Oren sebagai pemain dram undangan. Tak sangka rupa-rupanya itu permintaan terakhir arwah,” katanya.
Menceritakan detik-detik terakhir pemergian Radzi, Ajak berkata, ketika menyanyi lagu pertama, di pertengahan lagu Radzi tiba-tiba sesak nafas sebelum rebah.
“Dia kemudian dibawa ke surau di belakang pentas. Penganjur minta kami teruskan beraksi walaupun tanpa penyanyi. Kami terkejut apabila diberitahu arwah meninggal dunia di belakang pentas selepas itu,” katanya.
Ajak berkata, kejadian itu memberi kesan terhadap mereka sehingga tidak tahu berbuat apa-apa.
“Ini kerana selepas itu arwah ajak kami sertai keluar berdakwah (rehlah) dengan Maulana Helmi. Dia nak kami sertai dakwah dan kami setuju. Agak lama juga saya hilang arah. Selepas itu barulah Melissa hidup kembali dengan penyertaan empat anggota baru.
“Kami sedang siapkan EP memuatkan tiga lagu lama yang rancak dan dua lagu baru,” katanya.
Melissa akan terbabit dalam sambutan ambang Tahun Baru 2023 anjuran MEMCA di Dataran Pahlawan, Megamall Melaka yang bermula pada 29 Disember sehingga 1 Januari 2023.
Menerusi Fiesto Fest@Melaka 2022, Mereka akan beraksi bersama Noki/Mk K- Clique, D_va, Iman Troye, Azlan Typewriter, Kristal, Klangit, Dalia Farhana, Asfan, P Radhi, Zarul The Protes, 6ixthsense, Dinamik, Akar Band, Saja dan Max
Kredit: Harian Metro.