Kuala Lumpur: Pelakon, Julia Farhana Marin berkongsi berita gembira apabila selamat bergelar isteri kepada bekas suami selebriti, Lufya iaitu Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum di sebuah hotel di sini, pada 14 Disember lalu. 

Julia berkata, dia memohon orang ramai mendoakan kebahagiaan mahligai perkahwinan mereka.

“Saya mahu berkongsi saya sudah secara rasmi menjadi isteri kepada Dr Che Hafiz dan ini adalah gambar tidak rasmi majlis pernikahan kami yang dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak.

“Perkongsian yang dimuat naik ini sebagai pengumuman bagi memaklumkan kami berdua sudah sah bergelar suami isteri. Kami ingin memohon maaf di atas kelewatan pengumuman ini kepada kawan-kawan dan rakan-rakan media.

“Dengan rendah hati, kami ingin memohon maaf kerana mahukan majlis tertutup yang hanya dihadiri oleh keluarga dan rakan terdekat saja. 

“Kami suami isteri ingin memohon doa dan yang baik-baik untuk menjalani bahtera perkahwinan ini. Terima kasih semua,” katanya dalam perkongsian di Instagram, hari ini. 

Sementara itu, Dr Che Hafiz ketika dihubungi meluahkan rasa syukur apabila majlis pernikahan kali keduanya berjalan lancar dan tidak menolak untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat. 

“Alhamdulillah, selepas majlis pernikahan, kami terus berangkat untuk berbulan madu di beberapa tempat dalam Indonesia. Kami baru sahaja pulang hari ini.

“Syukur semuanya berjalan lancar. Jika ada rezeki menimang anak, kami menerima dengan hati terbuka. Saya mohon doa orang ramai agar bahtera rumah tangga yang dibina berkekalan hingga ke syurga. Semoga kami dapat menjadi pasangan yang sentiasa diberkati, insya-Allah,” katanya.

Sebelum ini, Che Hafiz pernah mendirikan rumah tangga dengan Lufya pada 26 November 2016 dan dikurniakan Laana Haura yang kini berusia lima tahun.

Bagaimanapun, Lufya dan Dr Hafiz bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam pada pada 17 Jun 2020.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *