KUALA LUMPUR: Aktor Sharnaaz Ahmad, 37, menasihati pempengaruh media sosial yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan kekal sahaja di tempat mereka berada.

Sharnaaz atau nama sebenarnya, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, berkata dia tidak mahu kelibat individu seperti itu kerana akan ‘merencatkan’ bidang lakonan.

“Bagi pempengaruh media sosial, kekal di mana tempat kamu berada sebab kamu bagus di situ. Kamu tak perlu pergi ke ‘mainstream’ bidang lakonan. Itu bukan padang kamu.

“Kamu kekal sahaja di mana tempat kamu dan hasilkan pendapatan daripada platform media sosial. Pastikan kamu benar-benar bagus di tempat itu, barulah orang akan sanjung.

“Bila kamu masuk ke tempat orang lain seperti drama, orang akan mempersoalkan kebolehan lakonan sebab itu bukan bidang kamu. Sebagai contoh, kita ambil pemain kriket untuk bermain bola, apa yang akan jadi? Pasti akan timbul masalah,” katanya kepada BH Online.

Sharnaaz tidak mahu kelibat pempengaruh media sosial tidak berpengalaman merencatkan bidang lakonan. - NSTP/Aziah Azmee
Sharnaaz tidak mahu kelibat pempengaruh media sosial tidak berpengalaman merencatkan bidang lakonan. – NSTP/Aziah Azmee

Tambah pelakon yang sudah membintangi pelbagai drama dan filem itu, pempengaruh media sosial juga perlu sentiasa pamerkan contoh terbaik kerana tindakan mereka pasti akan menjadi tontonan dan ikutan ramai.

“Kamu kena ingat, nama kamu adalah ‘influncer’ dan maksudnya adalah pemberi pengaruh. Jadi, apa sahaja tindakan dibuat akan mempengaruhi orang lain.

“Adakah kamu nak pengaruhi orang lain dengan perkara tidak baik? Semudah itu sahaja?” persoalnya.

Dalam pada itu, penerima trofi Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-29 itu berharap stesen televisyen (TV) memainkan peranan dalam soal pemilihan pelakon.

“Stesen TV juga kena bijak dalam memilih pelakon, jangan fikir duit sahaja. Pastikan pelakon yang dipilih mempunyai kualiti yang sepatutnya,” katanya.

Terdahulu, Sharnaaz mengulas bergandingan dengan pelakon yang kurang berpengalaman sedikit sebanyak memberi kesan terhadap lakonan kepada pelakon senior.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *