Kuala Lumpur : Pelakon, Nadzmi Adhwa menolak tanggapan segelintir pihak yang mendakwa dirinya sudah tidak laku dalam bidang hiburan tanah air.
Adhwa berkata, dia terpaksa memperlahankan kerjaya seni kerana sibuk menguruskan syarikat produksi miliknya.
“Tawaran selalu ada tetapi terpaksa ditapis kerana saya tidak mahu timbul ‘conflict of interest’ memandangkan saya kini mengusahakan sebuah syarikat produksi Arwaa Production yang menumpukan kepada penerbitan drama, telefilem dan program TV.
“Jadi saya lebih banyak berada di belakang tabir. Kita beri ruang kepada pelakon tempatan berbakat yang lain menyerlahkan kebolehan mereka. Melainkan naskhah yang saya terima itu boleh mengembangkan watak saya pasti saya terima dengan hati terbuka,” katanya
Menurut Adhwa, selain menguruskan syarikat produksi dia juga sibuk menjalankan perniagaan makanan mi segera.
“Selain bergiat aktif dalam bidang penerbitan, saya dan isteri juga aktif dalam perniagaan makanan, Arwaafood.
“Syukur, perniagaan makanan ini mendapat sambutan yang sangat positif apabila terjual 15,000 kotak menerusi platform TikTok dalam tempoh satu jam baru-baru ini,” katanya.
Kredit: Harian Metro