Kuala Lumpur : Pemain gitar terkenal, Joe, 53, berhasrat menjadikan Konsert Barbarik – Pentas Keras di Zepp Kuala Lumpur, di sini, pada 24 Disember ini sebagai konsert rock terhebat diadakan tahun 2022.
Joe atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir berkata, persiapan sudah cukup rapi dan fokus utamanya nanti adalah menampilkan produksi pementasan gah berkonsepkan era 1980-an.
“Kami sudah siap sedia untuk beraksi, cuma bimbang jika mengalami masalah kesihatan saja menjelang hari konsert. Semoga ia tidak menjadi halangan nanti.
“Sejak 2017 lagi saya sudah fikirkan konsep persembahan kami di mana ia pasti akan berbeza daripada pernah diadakan sebelum ini. Kali ini, kami akan tampilkan teknikal pementasan yang sangat megah selain persembahan bertenaga.
“Saya mahu ia benar-benar memberi impak sebagaimana konsert era 1980-an dulu terutama dari aspek pencahayaan. Saya takkan menggunakan skrin LED kerana ia cuma akan cacatkan keseluruhan konsep itu nanti,” katanya yang juga bekas pemain gitar Wings.
Selain itu, corak persembahan sudah dirancang Joe dengan begitu rapi. Dia mahu memastikan momentum persembahan bersama penyanyi utamanya, Muss dan beberapa penyanyi jemputan akan luar biasa.
“Ia akan dibuka dengan persembahan lima lagu tanpa henti untuk naikkan mood. Susunan lagu-lagu akan disuntik elemen baharu tapi tidak lari jauh daripada susunan asalnya.
“Pada masa sama, kami akan jaga momentum untuk pastikan penonton tetap akan terus bersemangat melayan konsert. Nyanyian yang bakal ditampilkan juga cukup menarik dan lebih ‘keras’ daripada persembahan sebelum ini.
“Saya mahu jadikan konsert itu nanti sebagai konsert rock paling hebat diadakan tahun ini. Kami sudah tidak sabar nak tunjukkan hasil perancangan yang dibuat selama beberapa tahun,” katanya ketika ditemui di studio miliknya di Setapak, di sini.
Sementara itu, Muss berkata, dia bersetuju menyertai projek Barbarik – Pentas Keras kerana kelainan yang dibawakan Joe.
Sebagai artis lama, dia memang sentiasa inginkan elemen baharu dalam persembahannya.
“Kalau ikutkan, saya tak pasti ingin terbabit projek itu sekiranya ia sekadar persembahan sama seperti pernah dilakukan sebelum ini. Tapi, bila dengar perancnagan Joe, ia sangat mengujakan saya.
“Saya pun sudah buat pelbagai jenis persembahan sebelum ini. Saya juga nakkan kelainan dan mencabar diri lagi. Konsep ditampilkan untuk konsert kali ini sangat tepat untuk saya berbuat demikian,” katanya yang juga bekas penyanyi May dan Wings.
Pada September lalu, Joe dan Muss mengumumkan akan bergabung menjayakan projek konsert istimewa terbabit selepas 22 tahun ‘terpisah’ atas faktor tertentu.
Ia adalah sempena album studio ke-11 Wings, Mr Barbarik yang diterbitkan pada 2000 iaitu ketika Muss menjadi penyanyi Wings.
Selain Mr Barbarik, Muss dan Wings turut tampil dengan album Biru Mata Hitamku, Mencari Asal Usul, Double Trouble 2 (bersama Search) dan album raya, Puisi Aidilfitri.
Dalam pada itu, Joe turut mendedahkan album Mr Barbarik tiba-tiba ‘digilai’ semula sekitar 2017 lalu dan yang mengejutkan ialah ia daripada pendengar muda.
Menurut Joe, dia tidak sangka lagu-lagu ‘zaman kaset’ mereka masih relevan sehingga kini.
Muss menyertai Wings pada 1996 menggantikan Mel yang meninggalkan Wings pada 1995. Sebelum itu Awie meninggalkan Wings pada 1993, namun menyertai Wings semula pada 2000 hingga hari ini.
Joe pula meninggalkan Wings pada 2016.
Antara lagu-lagu yang dimuatkan dalam album Mr Barbarik termasuk Keris Tak Bersarung, Inspirasi Syakilla, Singa Dan Harimau, 203 dan Mayang Sulit.
Kredit: Harian Metro