SELAIN aktif berlakon dan mengacara, Alvin Chong juga melebarkan bakat seninya sebagai penyanyi. Malah, dia pernah melancarkan beberapa single sebelum ini iaitu Mencintaimu dan Sayang Salmah.

Kini, Alvin tampil lagi mempertaruhkan single terbaharunya berjudul One And Only yang disifatkannya karya menarik kerana diilhamkan daripada kisah peribadinya sendiri. Baginya, ia amat istimewa.

Bercerita lanjut mengenai lagu itu, Alvin berkata, ia mempunyai makna besar buat dirinya. Jadi, jauh di sudut hati dia berharap peminat dan penggemar muzik tempatan menerima baik single One And Only.

“Karya lagu ini menggambarkan perasaan saya beberapa tahun lalu. Lebih tepat lagi ketika pandemik Covid-19. Ketika itu saya banyak menghabiskan waktu dalam kereta bersendirian.

“Ini kerana, sebaik saja keluar dari kereta saya berasakan seperti ada beban. Umpama ada tekanan dan tanggungjawab yang perlu saya laksanakan sebagai anak, artis, abang dan kawan.

“Saya juga rasakan seolah-olah duduk dalam kereta adalah satu-satunya tempat yang dianggap zon selamat dan selesa buat diri sendiri. Malah, walaupun sudah penat bekerja seharian, saya tetap mengalami masalah tidur,” katanya.

Namun, Alvin berkata, dia yakin semua orang pasti pernah melalui situasi seperti dirinya ketika pandemik Covid-19 sehingga berasa sangat sulit untuk meneruskan kehidupan. Katanya, situasi dilalui pasti berbeza-beza.

ISTIMEWA, single One And Only diakui berkisar kisah dialami Alvin sendiri.
ISTIMEWA, single One And Only diakui berkisar kisah dialami Alvin sendiri.

“Tapi, saya sentiasa percaya selepas hujan pastinya ada pelangi. Begitu juga sesudah malam yang gelap tentu ada pagi yang terang. Jadi, sesudah detik-detik hitam yang hadir itu, pasti ada saat indah menjelma.

“Apa pun, menariknya lagi ialah lagu ini adalah saya tulis bersama kumpulan komposer terkenal MFMF yang mengambil masa dua hari untuk disiapkan. Kami mulanya berborak panjang kira-kira dua jam untuk dapatkan idea utama,” katanya.

Menurut Alvin, bagaimanapun selepas dia menjelaskan bahawa kisah cerita dalam lagu ingin dihasilkan itu berkaitan perasaannya, mereka kemudian sepakat mahu memikirkan lirik dan bunyi sesuai bersama-sama.

“Sungguhpun karya lagu One And Only ini bernuansa sedih dan sendu, namun saya tetap tidak mahu ia menjadi lagu balada yang suram. Saya nak ia jadi lagu yang lebih rancak biarpun liriknya sedikit bertentangan.

ALVIN kini tampil dengan single baharu One And Only.
ALVIN kini tampil dengan single baharu One And Only.

“Mujur juga MFMF setuju dengan idea itu dan dia berjaya memberikan apa yang saya mahu. Justeru, single One And Only ini boleh dianggap mudah untuk dinikmati dan didengarkan secara santai,” katanya.

Mengulas juga perihal rakaman lagu, Alvin berkata, dia gembira dan bersyukur kerana semua proses kerja berjalan dengan mudah dan lancar. Katanya, dia yang merakamkan vokalnya untuk demo dimaklumkan oleh MFMF tidak perlu dibuat semula sebab nyanyian sudah cukup bagus.

Sehubungan itu, single One And Only kini boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music selepas dilancarkan pada 25 November lalu.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *