Melaka : Pemenang kategori Pelakon Lelaki Harapan di Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32), Jaa Suzuran terkejut apabila dirinya diumumkan sebagai pemenang.

Jaa berjaya mengenepikan empat calon hebat lain iaitu Idan Aedan, Abbas Mahmood, MK K-Clique dan Jj Ng Jinn Jou.

Jaa berkata, dia tidak menyangka apabila filem sulung yang dibintanginya iaitu Autumn In Wales membuahkan kejayaan berganda buat dirinya

“Saya agak terkejut dengan kemenangan yang diraih sebab ini adalah filem pertama saya selain kali pertama tercalon dalam anugerah berprestij ini.

“Saya tidak meletakkan sebarang jangkaan tinggi untuk menang, sebaliknya kedatangan saya di Encore, Melaka sekadar nak meriahkan majlis anugerah ini.

“Ketika diumumkan sebagai pemenang, saya ingatkan mereka salah sebut nama saya, tapi tak sangka rezeki berpihak kepada saya di FFM32,” katanya.

Menurut Jaa, dia menganggap kejayaan yang diciptanya itu adalah satu pembakar semangat untuk dia kembali aktif dalam dunia lakonan.

“Jujurnya saya sudah berehat agak lama dalam industri seni. Saya percaya kejayaan ini adalah satu tanda untuk saya kembali aktif dan memperbaiki mutu lakonan.

“Insya-Allah saya akan terus menimba ilmu dan mengikuti kelas lakonan. Saya tak boleh sia-siakan peluang ini dan perlu mencuba membawakan pelbagai karakter baharu.

“Ketika membintangi filem ini, wataknya memerlukan saya menjadi diri sendiri. Jadi tidak banyak tekanan yang saya hadapi, cuma saya cuba berikan semampu yang boleh dan mengikut kehendak pengarah ketika itu,” katanya.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *