PETALING JAYA: Pelakon, Nad Zainal menunjukkan perkembangan yang semakin baik apabila sudah mula sedar dan doktor juga memutuskan untuk mengeluarkan tiub bantuan pernafasan sejak pagi semalam.
Pelakon itu bagaimanapun, masih dalam pemantauan rapi untuk memastikan keadaan kesihatannya lebih baik dan terus menunjukkan perkembangan positif.
Perkembangan terbaru itu dikongsi pelakon, Ungku Ismail menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di Instagram, malam tadi.
“Alhamdulillah, Nad banyak menunjukkan perkembangan dan proses penyembuhannya juga bagus. Dia bagaimanapun, masih di bawah pengawasan rapi doktor dan saya berharap semua akan mendoakan urusannya dipermudahkan serta lancar.
“Dia juga sudah boleh bercakap, cuma suaranya sangat kecil. Begitu juga dengan pergerakan, dia boleh memegang telefon bimbit, cuma tidak dapat menaip kerana sudah lama tidak menggunakan anggota tangannya,” katanya.
Dalam masa sama, Ungku turut memanjatkan kesyukuran dan berterima kasih kepada orang ramai yang tidak putus-putus mendokan pelakon Hati Yang Tersakiti Itu.
“Sesungguhnya kekuatan doa itu sangat benar. Terima kasih saya ucapkan atas doa kalian yang tidak putus-putus untuk Nad dan saya juga ingin kembalikan doa itu pada kalian semua,” katanya.
SUMBER ASAL DARI :- https://www.utusan.com.my/nasional/2022/12/nad-zainal-sudah-sedar/