Kuala Lumpur : Pelakon, Niezam Zaidi yang terpalit dengan kes penyalahgunaan dadah pada Oktober tahun lalu kini sedang mendalami ilmu agama.
Niezam berkata, mengambil kira pelbagai faktor yang melanda dunia hari ini, terbit rasa keinsafan selain mahu berjasa kepada orang di sekelilingnya.
“Saya tak baik, jadi saya buat perkara baik. Mungkin situasi yang berlaku dekat dunia sekarang ini membuatkan saya terfikir bahawa hidup ini singkat.
“Emak saya pula sedang sakit. Kadang-kadang saya ini terlalu fikir sampai bila emak akan hidup, tapi sebenarnya saya patut fikir sampai bila pula saya akan hidup. Jadi, saya mahu hidup untuk berjasa dan berkhidmat.
“Bila ada satu ‘turning point’ berlaku dalam hidup, saya tak boleh ikut kehendak diri sendiri sebaliknya saya lakukan apa-apa kerana Allah. Setakat ini semuanya berjalan lancar,” katanya.
Menurut Niezam, bagi memastikan dirinya sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama, dia kini mengikuti beberapa kumpulan tabligh sekiranya mempunyai masa lapang.
“Sebelum ini ada kumpulan tabligh ajak keluar. Tapi saya sertai tabligh dari Bangladesh yang datang ke kampung saya.
“Mereka beritahu siapa yang turun masjid ini sudah terpilih. Ayat itu membuatkan hati saya tersentuh dan saya cuba berdakwah dengan cara yang saya boleh buat.
“Saya pun tidak mahu terlalu ekstrim sehingga membuatkan orang salah faham. Maklumlah, saya berada dalam industri hiburan dan saya bergelar pelakon. Takut timbul persepsi sehingga boleh menimbulkan fitnah,” katanya.
Dalam masa sama, Niezam bersyukur apabila kerjaya seninya masih berjalan seperti biasa tanpa sebarang sekatan oleh stesen TV atau syarikat produksi.
Terdahulu, Niezam dijatuhkan hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, Perak selepas mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dadah pada Oktober tahun lalu.
Kredit: Harian Metro