NAMA pengacara Fedtri Yahya bukan lagi nama yang asing dalam dunia pengacaraan dan TV tempatan.

Mengorak langkah menerusi pelbagai program antaranya Jejak Rasul berjaya melonjakkan nama Fedtri sehingga berada di satu tahap yang sangat membanggakan.

Hampir 20 tahun berkarya dalam industri pengacaraan, Fedtri yang baru-baru ini diangkat sebagai Pengacara TV Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa 2022 (ASA2022) menyimpan impian untuk mencari pelapis berkualiti.

“Saya menyimpan impian untuk melatih bakat baharu dan meramaikan pelapis dalam dunia pengacaraan dan kewartawanan.

“Saya pun kini sudah menjangkau usia 40-an. Jadi, sudah tiba masanya untuk saya cari pelapis yang berkualiti,” katanya.

Sentiasa disorot lampu populariti, Fedtri yang juga pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) bagaimanapun menegaskan dia ingin mencari pelapis yang tidak mengejar glamor semata-mata.

“Kalau boleh, biarlah mereka menjadi wartawan dan penerbit yang berkualiti. Biarlah mereka ini ada jiwa sejati dalam karier ini, tak disinari kilauan populariti, sekali gus berjuang melalui karya,” katanya.

Berkongsi mengenai perjalanan kariernya, Fedtri yang juga Penerbit Eksekutif Jabatan Pengisian Islam TV3 kini lebih selesa terikat dengan program berkaitan Islam.

“Pada peringkat awal, saya banyak menghasilkan program yang ringan terlebih dulu.

“Apabila sudah meningkat usia, saya lebih banyak menghasilkan program yang memberi impak kepada masyarakat.

“Saya sangat terikat dengan program berkaitan agama lebih-lebih lagi kerana juga memegang posisi sebagai Penerbit Eksekutif Jabatan Pengisian Islam di TV3,” katanya.

Berkongsi mengenai impian lainnya, Fedtri berkata, dia ingin meneroka dunia di Amerika Latin dan membawa cerita mengenai Islam dari bahagian dunia di sebelah sana.

“Kita jarang meneroka dan mendedahkan mengenai cerita dunia Islam dari sana. Namun, saya tahu banyak kekangan antaranya kos yang tinggi. Bagaimanapun, itu masih menjadi satu daripada impian dalam senarai mimpi saya,” katanya.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *