Kuala Lumpur : “Peserta untuk Raja Lawak musim ini perlu banyak belajar daripada peserta alumni yang kelakar giler!”
Itu antara komen pengguna laman sosial menerusi episod istimewa Gelanggang Awesome Raja Lawak #Alumni apabila menampilkan alumni program Raja Lawak yang berlangsung, kelmarin.
Pada episod itu, dua peserta iaitu gandingan pelawak Mamak dan Abu Mamu serta Mamat Sepah dan Amir (Amirreka) diumumkan peserta terbaik yang mana masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 setiap kumpulan.
Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli berkata, episod istimewa itu berjaya merekodkan jumlah tontonan tertinggi untuk musim ini iaitu sebanyak hampir dua juta.
“Penonton termasuk dalam kalangan netizen menyatakan hasrat masing-masing untuk melihat pembabitan lebih ramai alumni pada minggu seterusnya yang mana secara tidak langsung bertindak sebagai pembakar semangat dan sumber inspirasi kepada setiap peserta yang bertanding pada musim ini. Ia terbukti apabila semua sembilan peserta yang membuat persembahan pada minggu lalu berjaya menampilkan persaingan yang sengit dan masing-masing mendapat tanda ‘3 UP’ daripada juri tetap.

“Pada episod istimewa ini, kedudukan dua peserta teratas dengan markah seri 86 peratus tidak boleh disangkal lagi. Kedua-dua pihak produksi dan barisan juri tetap yang masing-masing bertanggungjawab memegang pemarkahan sebanyak 50 peratus sebulat suara bersetuju mengangkat kedua-dua kumpulan duo ini sebagai pemenang terbaik.
“Ini juga gabungan sulung di antara Mamat dan Amir. Ternyata percaturan ini menjadi kerana ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari semua. Masing-masing turut sama teruja dengan gandingan ini,” katanya.
Lapan kumpulan alumni (duo dan trio) yang terbabit pada episod Gelanggang Awesome Raja Lawak #Alumni terdiri daripada peserta Raja Lawak musim satu hingga tujuh, Mamak, Mamat Sepah, Amir, Abu Mamu, Man Raja Lawak, Caca Dboss, Ilham, Wan Wala, Achok, Chot, Pak Cu, Che Mat, Faiz, Kijat Kintan, Atan Kintan, Momo Okay, Yim Okay, Ajoe Mamu dan Idlan.
Kredit: Harian Metro