Kuala Lumpur: Filem Abang Long Fadil 3 (ALF 3) menjadi filem aksi komedi yang mencatat kutipan tertinggi dengan jumlah RM24 juta selepas sebulan ditayangkan.
Pengarahnya, Syafiq Yusof, 30, berkata, kejayaan itu turut memadam rekod filem Abang Long Fadil 2 yang juga arahannya dengan kutipan RM18.4 juta.
“Saya bersyukur atas kutipan ALF 3 sekali gus melepasi kutipan ALF 2. Setakat ini, ia adalah kutipan tertinggi bagi filem aksi komedi. Kiranya ALF 3 menjadi filem nombor satu aksi komedi sekarang.
“Filem ini masih ditayangkan dan saya berharap lebih ramai lagi penonton ke pawagam. Boleh pergi bersama keluarga dan kawan-kawan untuk menonton dan berhibur. Apa pun saya bersyukur dan berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sudah menyokong filem ALF 3,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya sama ada dia mempunyai perancangan untuk mengarah dan menerbitkan Abang Long Fadil 4, Syafiq yang juga adik kepada Syamsul Yusof berkata, kedua pihak iaitu Skop Productions dan Astro Shaw masih dalam perbincangan.
“Buat masa sekarang belum ada perangan untuk filem ALF 4. Semuanya masih dalam perbincangan dengan pihak Astro dan Skop.
“Sekarang saya nak memberi tumpuan untuk filem terbaharu arahan saya iaitu Polis Evo 3. Insya-Allah, ia bakal ditayangkan awal atau pertengahan tahun depan,” katanya.
Abang Long Fadil 3 menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air seperti Zizan Razak, Johan, Elizabeth Tan, Maya Karin, Datuk AC Mizal, Shuib, Kazar, Ozlyn Wati, Tania Hudson, Joey Daud, Jay Iswazir, Daniella Sha, Khir Rahman dan Siraj.
Filem terbitan oleh penerbit gergasi tanah air, Skop Productions dan Astro Shaw ini menjanjikan lebih padat aksi memukau, komedi pecah perut, barisan pelakon terkenal serta kualiti produksi yang boleh dibanggakan.
Kredit: Harian Metro