KUALA LUMPUR: Buat pertama kalinya, kumpulan nasyid UNIC akan menggabungkan kesemua bekas ahli kumpulan itu dalam satu konsert, REUNIC Live In Concert The Finale See You Di IPT The Musical.
Menurut Dr Fitri Haris selaku pengarah konsert bersama Fakhrul dan Bazli UNIC, kemunculan ahli-ahli REUNIC yang lengkap dan sambutan yang memberangsangkan daripada peminat membuktikan bahawa nasyid juga mampu bersaing setaraf dengan genre muzik yang lain.
Konsert REUNIC Live In Concert The Finale See You Di IPT The Musical bakal diadakan di lokasi bertaraf dunia, Zepp Kuala Lumpur pada 8 Oktober ini.
“Buat pertama kalinya, sebuah konsert nasyid diadakan di lokasi acara bertaraf dunia. Mungkin ada yang bertanya, mengapa Bukit Bintang?
“Pemilihan tempat di Bukit Bintang pula membuktikan bahawa nasyid juga mampu bersaing setaraf muzik arus perdana yang pernah diadakan di situ seperti kumpulan Search, Bunkface dan artis-artis antarabangsa yang lain lantas menaikkan martabat nasyid di mata dunia,” katanya.
Sementara itu, konsert ini mengangkat tema telefilem See You di IPT yang pernah dibintangi oleh anggota-anggota UNIC pada tahun 2004.
“Naskhah terbabit dekat di hati penggemar kami. Bagi menggamit nostalgia peminat, kami akan mengambil tema adaptasi telemovie See You di IPT dan membawakannya terus di atas pentas Zepp Kuala Lumpur.
“Selain kemunculan semua anggota UNIC sejak 2002 sehinga kini, konsert ini turut diserikan dengan kemunculan khas selebriti terkenal seperti Bell Ngasri, Bienda, Zizi Kirana, Mawi dan Anas,” katanya.
Walaupun tiket secara fizikal sudah habis terjual, namun konsert yang turut mendapat sokongan dana melalui Geran Dana Kandungan Digital (DKD) yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia ini akan memenuhi permintaanpeminat yang tidak dapat menghadiri konsert secara langsung.
Peminat boleh membeli tiket dan menyaksikannya melalui penstriman dalam talian dan akan ditayangkan sehari selepas konsert pada 9 Oktober, jam 9.00 malam. Sebahagian daripada pembelian tiket akan disalurkan ke tabung kemanusiaan Cinta Gaza Malaysia.-XTRA
Kredit: Berita Harian