LIZA Hanim (kiri) berduet dengan Siti Nurhaliza dalam persembahan di AIM23, baru-baru ini.

Kuala Lumpur: Penyanyi terkenal, Liza Hanim terbuka dan mahu berduet dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza selepas persembahan mereka pada Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23), baru-baru ini menerusi lagu Jerat Percintaan, Gelisah Mimpi dan Cindai tular dan menjadi ‘trending’ di laman sosial.

Liza, 43, atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim berkata, jika perkara itu terjadi ia bakal menggembirakan ramai orang.

“Memang ramai minta kami berduet. Saya terbuka dan boleh sangat. Kalau kedua pihak okay, tidak ada masalah. Kalau ia terjadi, ia menggembirakan ramai orang terutama yang nak sangat kami ada lagu duet bersama,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Liza gembira apabila lagu Gelisah Mimpi kembali popular apabila menjadi pilihan pengguna aplikasi TikTok sebagai muzik latar video yang dimuat naik.

“Sudah tentu saya gembira. Malah, apabila dapat tawaran ini dan sebelum buat persembahan itu pun, kami dapat jangka ramai akan suka dan tunggu persembahan kami.

“Apabila lagu Gelisah Mimpi tular dan banyak digunakan di TikTok, saya gembira. Orang teringat semula lagu ni sekali gus dapat memperkenalkan semula saya dan lagu-lagu saya kepada generasi mereka. Artis seangkatan saya juga dapat diingati semula,” katanya.

Pada AIM23, Liza memenangi kategori Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu dan Runut Bunyi (OST) Terbaik Di Dalam Filem atau Drama menerusi lagu Bahagiakan Dia bersama Shila Amzah.

Itu adalah kemenangan pertama Liza pada acara berprestij itu selepas 25 tahun terbabit dalam bidang nyanyian.

Kreadit : hmetro.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *