KUALA LUMPUR: Saban minggu tidak lekang daripada kontroversi, akhirnya artis versatil, Ifa Raziah akur menjadi peserta pertama tersingkir daripada program realiti terbitan TV3, Terpaling Juara, Ahad lalu.

Andai sebelum ini ada sahaja ketidakpuasan disuarakan penyanyi lagu Panas ini, namun kali ini respons Ifa berbeza apabila dia mengakui berlapang dada dengan keputusan juri program terbabit.

Ifa mendakwa, sejak awal lagi dia dapat menjangka dirinya bakal menjadi ‘mangsa’ pertama tersingkir daripada program realiti itu yang menampilkan bintang ‘otai’ dan bakat baharu bertarung merebut gelaran juara.

Namun, penyanyi berusia 46 tahun itu akur dengan rezeki yang tertulis setakat itu sahaja.

Lagipun, kata Ifa atau nama sebenar, Saripah Raziah Mustapha, tiada apa yang perlu dikesalkan dan apa yang penting, dia meninggalkan program terbabit secara bermaruah.

“Saya sudah melakukan yang terbaik. Perjalanan saya sudah tertulis sampai minggu keempat sahaja.

“Alhamdulillah, satu Malaysia boleh tengok perubahan saya. Malah, guru vokal berpuas hati dengan persembahan saya pada malam itu.

“Sebenarnya, dari minggu pertama saya sudah sedia disingkirkan. Bagaimanapun, saya berpuas hati disingkirkan dengan cara terhormat kerana saya sudah melakukan sehabis baik minggu lalu.

“Malah, Datuk Hattan beritahu juri beri markah yang tinggi. Namun, katanya saya tersingkir kerana undian dalam talian tidak cukup,” katanya kepada BH Online.

Ifa berpuas hati disingkirkan dengan cara terhormat kerana sudah melakukan sehabis baik, minggu lalu. - Foto TV3
Ifa berpuas hati disingkirkan dengan cara terhormat kerana sudah melakukan sehabis baik, minggu lalu. – Foto TV3

Program realiti, Terpaling Juara mempertaruhkan tiga kapten iaitu Akim, Naim dan Hael Husaini yang membimbing seorang penyanyi senior dan junior dalam persembahan mingguan yang menampilkan lagu yang pernah bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM).

Selain Ifa, dua peserta ‘otai’ yang bertanding adalah Rahmad Mega dan Hazami.

Tiga peserta muda yang bersaing adalah Aqmal, Shaz atau nama sebenar, Shazreen Shaharum, 26; dan Aqeesh Aleeya, 18, yang dipilih menerusi uji bakat, awal bulan lalu.

Sebagai artis yang sudah lama berkecimpung dalam bidang seni, Ifa yakin penyingkirannya daripada program Terpaling Juara bukanlah pengakhiran kepada kerjaya seninya.

Sebaliknya, Ifa menganggap ia permulaan baharu dan mahu mengambil positif takdir tertulis dan tidak patah semangat.

“Mungkin perjalanan saya sudah tertulis setakat ini sahaja. Namun, saya percaya rezeki Allah luas, bukan di sini sahaja.

“Saya bukan baru sehari dua dalam bidang ini. Perkara ini bukan pengakhiran hidup, sebaliknya perjalanan saya baru bermula.

“Biarlah orang hendak ketawa atau bersorak dengan penyingkiran saya. Apa yang penting, saya masih relevan dalam industri.

“Saya masih diundang membuat persembahan majlis makan malam, berlakon dan mengacara.

“Orang yang mengata dan mentertawakan saya, hidup mereka tetap seperti itu sahaja,” katanya.

Sebagai artis senior, Ifa yakin penyingkirannya daripada program Terpaling Juara bukanlah pengakhiran kepada kerjaya seninya. - Foto TV3
Sebagai artis senior, Ifa yakin penyingkirannya daripada program Terpaling Juara bukanlah pengakhiran kepada kerjaya seninya. – Foto TV3

Tambah Ifa, dia yakin bukan semua orang membenci dirinya, sebaliknya, beliau percaya ramai peminat masih menyokong tetapi tidak menyatakannya secara terang-terangan.

Bagaimanapun, Ifa berterima kasih kepada ‘haters’ kerana memberi ‘promosi’ percuma hingga namanya makin dikenali dan diperkatakan.

Pada minggu keempat program Terpaling Juara, Ahad lalu, Ifa mendendangkan lagu Purnama serta dipuji juri iaitu Hattan dan Fauziah Latiff.

Namun, hasil gabungan markah juri dan undi dalam talian, Ifa menjadi peserta pertama tersingkir daripada program berkenaan.

Terpaling Juara disiarkan setiap Ahad jam 9 malam secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Shah Alam. Program ini juga distrim langsung secara HD di www.tonton.com.my.

Gunakan tanda pagar #TerpalingJuara dan #PlaylistAJL untuk menghangatkan lagi perbualan di media sosial.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *