Kehadiran filem animasi Dragon Ball Super: Super Hero adalah filem yang dinanti-nantikan kerana ia umpama mengimbau kegemilangan zaman kanak-kanak kebanyakan daripada kita.
Dalam filem terbaharu ini, ia mengisahkan mengenai perjalanan dan perjuangan Piccolo menentang kejahatan Red Ribbon. Sepanjang perjalanan itu, penonton dapat melihat sendiri usaha Piccolo dalam beberapa hal.
Antaranya, bagaimana dia perlu mengumpan Gohan untuk ‘keluar’ rumah dan turut serta berperang melawan Red Ribbon yang kini diketuai Magenta, anak Komander Red.
Magenta tidak hanya berjuang sendirian, tetapi dia berjaya menghasut cucu Dr Gero iaitu Dr Hedo untuk bekerja buatnya, sekali gus menghasilkan Cell ‘baharu’ yang lebih berkuasa.
Kuasa Cell yang dikenali sebagai Cell Max ini umpama tidak ada lawannya. Bahkan, Piccolo yang meminta bantuan daripada Shenron untuk menjadikannya lebih bertenaga.
Tahu akan kemampuannya dan pada masa sama tidak mahu Gohan mensia-siakan kuasanya, Piccolo mengumpan Gohan dengan ‘menculik’ anaknya, Pan yang kemudian dibawa ke pangkalan Red Ribbon.
Tidak hanya mereka, tanpa dijangka mereka juga dibantu Bulma, Goten, Trunks, Android 18, Krillin serta Gamma yang pada awalnya bekerja untuk Red Ribbon.
Filem ini umpama satu animasi yang membuatkan saya tak kering gusi saat menonton melihat gelagat watak-wataknya.
Banyak babak serius yang diselitkan dengan elemen lucu yang mencuit hati. Namun babak aksinya tidak mengecewakan dan kita umpama dibawa berada di lokasi di mana kejadian itu berlaku.
Walaupun ia hanya animasi, penonton dapat merasakan perasaan dan emosi dalam setiap babak yang dipaparkan.
Di mana Goku dan Vegeta? Mereka berada di planet Beerus dan menjalani latihan di bawah bimbingan Whis bersama Broly.
Yang pasti, penonton yang juga peminat setiap siri animasi popular ini tidak kira dari komik mahupun siri TV, patut luangkan masa untuk menonton.
FILEM: Dragon Ball Super: Super Hero
PENGARAH: Tetsuro Kodama
PENULIS SKRIP: Akira Toriyama
PELAKON: Masako Nozawa, Toshio Furukawa, Ryo Horikawa, Yuko Minaguchi, Mayumi Tanaka, Aya Hisakawa, Bin Shimada, Hiroshi Kamiya, Mamoru Miyano dan Miyu Irino
TERBITAN: Toei Animation
ULASAN: Syafil Syazwan Jefri
(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)
Kredit: Harian Metro