Kuala Lumpur: Pelakon serba boleh, Zaidi Omar mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk membolehkannya kekal bertenaga pada usia 64 tahun.
Zaidi yang mula dikenali menerusi filem Perempuan, Isteri & …..? arahan U-Wei Hj Saari berkata, dia sudah lama menjauhi penggunaan gula dalam minuman dan makanan serta tidak makan berlebihan.
“Saya dah lama tak ambil minuman manis serta jaga pemakanan. Di rumah saya memang tiada gula. Jika hadir ke mana-mana acara, saya hanya minum air kosong.
“Jika makan nasi pula, ia hanya separuh dan tiada tambah-tambah lagi. Itupun kadang-kadang tidak habis. Saya juga rajin bersenam di gimnasium setiap hari.
“Sekiranya tiada penggambaran drama atau urusan penting lain, saya akan tidur awal. Pukul 10 malam sudah atas katil. Saya jarang keluar jumpa kawan jika sudah lewat malam,” katanya ketika ditemui di sidang media dan sesi pratonton filem pendek Aidil & Atok di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Menurutnya, dia menerima tawaran berlakon filem berdurasi 15 minit Itu kerana mahu bekerja dengan pengarahnya, Ogy Ahmad Daud.
“Saya amat berbesar hati diberikan tawaran ini. Bila Ogy tawarkan watak Atok, saya terus bersetuju. Ini filem dakwah, tetapi bukan ceramah.
“Saya rasa bertuah diberi peluang terbabit di dalamnya. Diharapkan lakonan saya memberi manfaat dan kebaikan kepada mereka yang menonton. Saya sekarang ditawarkan sebagai watak ketua mafia dalam sebuah filem yang akan memulakan penggambaran nanti,” katanya.
Zaidi berkata, dia tidak pelik atau janggal untuk membawakan watak antagonis itu kerana sebagai pelakon dia perlu menyahut cabaran yang diberikan.
kreadit : hmetro.com