Kemunculan Gigi menerusi Konsert Eksklusif bersama Gigi di Menara PGRM, Kuala Lumpur pada 2003 kekal diingati peminat.

Seterusnya kemunculan terakhir mereka ialah di Sunburst KL International Music Festival sepentas dengan Incubus dan John Legend pada 2008.

Terbaharu, kumpulan Gigi yang ditubuhkan pada 1994 dan dikenali dengan ‘permainan’ dan nyanyian mantap penyanyinya, Armand Maulana kembali merawat kerinduan peminat di Malaysia pada awal November depan.

Kehadiran Armand, Dewa Budjana (gitar), Thomas Ramdhan (bass) dan Gusti Hendy (dram) pastinya dinantikan terutama dalam kalangan GigiKita.

Gigi ‘memasuki’ pasaran Malaysia ketika peminat tempatan masih dibuai dengan melodi jiwang dan mengasyikkan.

Mereka menawan hati peminat menerusi lagu Terbang yang menjadi siulan ramai termasuk menawan hati pemuzik tempatan pada 1999.

Kedatangan mereka seiring kemasukan kumpulan Indonesia seperti Padi dan Sheila On 7 ke sini.

Penguasaan mereka terhadap peminat adalah menerusi lagu hit seperti 11 Januari, Nakal, Pintu Sorga, Janji, Jomblo dan Andai.

Uniknya Gigi ialah kerana mereka diminati terutama dalam kalangan pemuzik berdasarkan skil yang dimiliki setiap anggota kumpulan terbabit.

Rata-ratanya menjadikan mereka sebagai idola kerana kemahiran pemuziknya dan Armand selaku penyanyi sentiasa memukau khalayak dengan vokal dan ‘showmanship’ lincah di atas pentas.

Tanjak Adventure & Tour selaku penganjur akan mengembalikan rasa pukauan ini menerusi Konsert Gigi : Nakal Di Kuala Lumpur di ibu negara.

Pegawai Eksekutif Tanjak Adventure & Tour, Azroy Ramli berkata, konsert dengan durasi dua jam itu akan menghimpunkan lagu popular Gigi.

“Kami sangat berbangga untuk membawa Gigi yang kita tahu diminati kerana skil dan profesionalisme mereka serta lagu mereka yang hebat. Kami mengharapkan kerinduan peminat dapat terubat.

“Kami turut megalu-alukan sambutan pemuzik yang meminati permainan Budjana, Thomas dan Gusti serta kemantapan vokal Armand untuk hadir,” katanya.

Dalam pada itu, Gigi turut teruja kerana sudah lama menunggu masa untuk bertemu peminat di Malaysia.

“Sudah lama benar kita semua tidak bertemu. Jadi, jangan lupa untuk berjumpa di Gigi: Nakal Di Kuala Lumpur November depan,” kata mereka.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *