Kuala Lumpur: Pelakon Jasmine Suraya Chin, 33, berkongsi mengenai keinginannya untuk mengetahui lanjut mengenai Islam sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Disebabkan itu, dia menghadiri majlis ilmu Hijrah Cinta yang diadakan usahawan popular Neelofa baru-baru ini di mana menurutnya kehadiran itu sebenarnya dibuat secara senyap-senyap.

“Secara jujurnya, ini boleh dikatakan sebuah perjalanan yang cukup peribadi untuk saya. Hakikatnya, saya kalau boleh nak simpan hal untuk peribadi saja. Saya pun tak berani nak kecoh sangat.

“Apa boleh saya kata, saya ingin tahu sejak beberapa tahun ini. Saya pun melalui isu peribadi dan jemputan itu datang tanpa disangka. Seorang kawan ajak saya kerana dia tahu saya tertanya-tanya dan mahu tahu lebih lanjut.

“Saya ingin tahu sebab mahu dapatkan kepastian. Apabila kita tiada pegangan, banyak hal dirasakan seperti tak stabil. Mungkin asal-usul saya agak bercelaru dan tidak seimbang, itu yang saya rasa,” katanya kepada Harian Metro.

Jasmine mulanya tak tahu judul majlis itu adalah Hijrah Cinta. Dia fikir ia berkisar topik cinta dan dia pun tak bercinta dengan siapa-siapa. Namun, rakannya cakap ia berkaitan kisah nabi.

“Saya rasa ia cukup menarik dan saya pergi. Menariknya, beberapa kisah yang ustazah kongsi ketika itu sangat berkaitan dengan diri saya.

“Sebenarnya saya tak nak orang tahu saya pergi. Sepanjang majlis pun saya pakai pelitup muka dan ramai tidak cam meskipun ramai sebenarnya kawan saya hadir ketika itu. Saya pun tak berani nak tegur mereka. Saya enggan tonjolkan diri,” katanya.

Jasmine juga sangat terharu apabila kawan yang cam dirinya benar-benar mengalu-alukan kehadirannya. Ia membuatkan dia benar-benar tersentuh dan merasa hal itu sangat indah.

“Sangat menggembirakan juga apabila Neelofa alu-alukan saya dan minta saya kongsi kalau ada apa-apa termasuk persoalan. Ia satu perasaan yang cukup tenang.

“Ada perkara yang dikongsi ustazah juga cukup menyentuh saya. Saya tak pernah percaya mengenai sebarang petunjuk. Tapi saya bertanya kepada kawan, adakah itu satu petunjuk?” katanya.

Terdahulu, Neelofa berkongsi terharu inisiatif menganjurkan majlis ilmu untuk rakan selebriti mendapat sokongan ramai terutama penggiat seni.

Lebih menyentuh hatinya, Jasmine turut menghadiri majlis ilmu dianjurkan itu selain menjadi orang terakhir pulang.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *