KUALA LUMPUR: Penyanyi legenda, Zamani, 51, akan menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit skoliosis, awal November depan.

Vokalis kumpulan Slam yang menderita penyakit skoliosis sejak 2015 itu bersyukur, pihak hospital memberi jaminan peluang untuknya kembali sembuh selepas pembedahan.

“Tulang belakang sudah mencucuk tulang rusuk dan menghimpit jantung. Jadi, saya perlu melakukan pembedahan

segera.

“Dahulu, saya agak takut apabila dimaklumkan tiada peluang untuk sembuh. Namun, yang diterima tidak tepat.

“Selepas melakukan ujian imbasan, doktor mengesahkan mempunyai harapan tinggi untuk sembuh. Namun, tidaklah boleh kembali kepada normal,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi lagu Gerimis Mengundang dan Tak Mungkin Berpaling itu berkata, dia memiliki dua pilihan pusat perubatan untuk melakukan pembedahan

“Doktor memberitahu saya sudah boleh menjalani pembedahan pada Oktober ini. Cuma, saya terikat dengan beberapa komitmen kerja perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Jadi, insya-Allah mungkin awal November. Dari segi kos pembedahan dianggarkan melebihi RM100,000,” katanya yang ditemui pada sidang media konsert amal, Rhythm Of Legends di Istana Budaya, hari ini.

Zamani berkata, buat masa ini, dia perlu memakan ubat tahan sakit sementara menunggu pembedahan.

Namun, Zamani tidak menafikan perasaan takut menjalani pembedahan menghantui diri, apatah lagi, pembedahan dijangka mengambil masa lapan hingga 10 jam.

“Saya bukan sahaja gusar dan berdebar. Jika diberi pilihan, saya tidak mahu menjalani pembedahan dan cuba cari jalan lain, tetapi ini adalah pilihan terakhir.

“Saya difahamkan pembedahan akan mengambil masa antara lapan hingga 10 jam. Nak sembuh pula bergantung pada badan saya.

“Kalau semuanya baik, mungkin selepas dua minggu akan semakin pulih. Jika tidak, ia mengambil masa sebulan.

“Selain itu, saya juga perlu menjalani fisioterapi. Saya berharap pembedahan berjalan lancar dan mendapat kesembuhan walaupun saya tahu tidak mungkin sembuh 100 peratus,” katanya.

Zamani bakal menjayakan konsert amal, Rhythm Of Legends pada 29 dan 30 Oktober depan di Dewan Plenari KLCC. - NSTP/Aziah Azmee
Zamani bakal menjayakan konsert amal, Rhythm Of Legends pada 29 dan 30 Oktober depan di Dewan Plenari KLCC. – NSTP/Aziah Azmee

Katanya, dia juga akan terbabit dengan Konsert Doa Buat Zamani di Zepp KL sebelum menjalani pembedahan.

“Konsert ini bertujuan menemukan saya dengan peminat. Kita doakan baik-baik kerana saya juga tidak tahu apa yang akan berlaku.

“Jadi, ia diadakan agar peminat dapat mendoakan saya. Saya juga menjual tiket bagi mencari dana sampingan, tetapi apa yang penting niat mengadakan konsert untuk mendoakan saya.

“Tarikh belum ditetapkan, tetapi insya-Allah awal November. Saya cuba dapatkan Slam.

“Jika mereka sudi, saya memang mengalu-alukan, namun, kalau tak boleh, saya akan jemput sebagai tetamu istimewa,” katanya.

Sebelum itu, Zamani menjayakan konsert amal Rhythm Of Legends pada 29 dan 30 Oktober.

Zamani berkata, dia teruja menjayakan konsert anjuran syarikat pengurusan, S Excellent dengan kerjasama pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), Drug Free Malaysia yang bakal berlangsung di Dewan Plenari KLCC.

Ia turut menampilkan penyanyi popular lain seperti Datuk Hattan, Mawi, One Nation Emcee, Asmidar dan Rojer Kajol.

Tiket menyaksikan Konsert Rhythm of Legends itu sudah mula dijual menerusi www.myticket.asia.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *