Penyanyi dan usahawan kontroversi, Datuk Seri Vida meminta orang ramai tidak mengaitkan dirinya dengan kes tuntutan hadiah berupa sebidang tanah yang melibatkan juara program Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Datuk Aishah Ariffin.

Memetik portal Utusan Malaysia, Dato Seri yang mesra disapa Vida mengatakan dia tiada kaitan dengan penajaan berupa sebidang tanah lot banglo untuk Aishah.

Jelas Vida, isu tuntutan tajaan antara dia dan Aishah cumalah hadiah barangan kemas sahaja dan hal tersebut sudah lama diselesaikan.

Apa yang mengecewakannya adalah ramai individu seringkali mengaitkan dirinya apabila Aishah membuat tuntutan, sedangkan dirinya tiada kaitan langsung. Dalam pada itu, Vida mengatakan penaja yang terlibat merupakan sebuah syarikat peneraju perumahan.

“Apa pasal ya? Asal Aishah buat tuntutan saja orang cari saya? Apa hal ini? Saya pun jadi hairan. Rasanya ramai sudah keliru ini. Saya tak ada kaitan pun dengan penajaan berupa sebidang tanah semasa menjayakan program GV4 itu. Penaja yang terlibat difahamkan merupakan sebuah syarikat peneraju perumahan.
“Sebelum ini pun, isu antara saya dengan Aishah membabitkan tajaan hadiah barangan kemas. Tetapi, hal itu pun sudah lama selesai. Jadi, saya harap, jangan kaitkan dengan saya tentang hadiah tanah itu. Saya tiada kaitan. Jangan menganiaya saya,” katanya.

Dalam pada itu, Vida mengakui dirinya sehingga kini sukar untuk melupakan isu salah faham pemberian hadiah berupa barangan kemas kepada Aishah kerana ia menyebabkan perniagaan kedai emasnya terjejas teruk. Selain itu, Vida berkata perniagaan emasnya turut difitnah oleh individu tidak bertanggungjawab dengan mengatakan dia menjual barangan kemas palsu.

Disoal mengenai penglibatan tajaan untuk program televisyen, Vida memberitahu dirinya sudah serik untuk terlibat sama sebagai penaja setelah melalui pelbagai pengalaman pahit sebelum ini. Katanya lagi, dia mahu lebih tenang dalam menjalankan perniagaanya bagi mengelakkan diri tersilap langkah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *