Kuala Lumpur: Acara berprestij Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) dilancarkan hari ini yang bakal mempertandingkan 26 kategori dan berlangsung pada 11 September, jam 9 malam di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta disiarkan di Astro Ria.
Selepas menyepi lebih lima tahun, penganjuran kali ini bakal dibuat lebih gah seiring dengan prestijnya.
Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) selaku penganjur mahu kegemilangan acara itu dikembalikan.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM23, Rosmin Hashim berkata, perbincangan menyeluruh dan teliti penganjuran kali ini sudah dimulakan sejak awal tahun lalu.
“Banyak aspek yang kami bincangkan secara teliti terutama daripada segi memastikan acara itu gemilang. Apalagi, sekian lama dinantikan, pastinya ramai ternanti untuk AIM kembali dianjurkan.
“Pada malam itu nanti, Astro akan memainkan peranan untuk tampilkan produksi yang cukup gah. Begitu juga persembahan, kami janjikan artis-artis hebat selain menjemput penyanyi antarabangsa untuk menghiburkan penonton.
“Kami berharap AIM23 akan kembali menjadi acara tahunan dan martabatkan industri muzik kita,” katanya.
Menariknya, pencalonan AIM23 dibuka untuk lagu atau album dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan India yang dikeluarkan di Malaysia dari 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2022.
Tempoh pencalonan dibuka bermula 27 Julai lalu dan berakhir pada 5 Ogos, jam 5 petang.
Rosmin berkata, pencalonan dibuka kepada karya yang dihasilkan dalam tempoh satu setengah tahun ini sebagai ketetapan rasmi. Justeru, lagu-lagu terdahulu yang bukan dihasilkan sewaktu tempoh itu tidak layak.
“Memang sayang juga tapi itulah ketetapan demikian sudah dibuat sebulat suara. Kami pun turut memaklumkan syarat terbabit dan difahami syarikat rakaman mahupun artis.
“Kiranya bukan rezekilah untuk lagu-lagu yang dihasilkan ketika AIM direhatkan penganjuran. Apapun, kami menerima jumlah pencalonan yang sangat menggalakkan setakat ini,” katanya.
Seperti penjurian dalam penganjuran lalu, calon akan dinilai panel juri terpilih terdiri daripada pengamal yang dihormati dan pakar terkemuka daripada pelbagai disiplin dalam industri muzik tempatan.
Ketua juri dilantik oleh jawatankuasa penganjur. Penerima anugerah pencapaian seumur hidup Sri Wirama pula akan ditentukan oleh Ahli Majlis RIM. Keputusan Lima Calon Akhir AIM23 dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat.
Kreadit : hmetro.com.my