Kuala Terengganu: Telemovie Mat Runner terbitan bersama dua produksi tempatan Zaza Development & Services Sdn Bhd dan RA&RA Endeavours Sdn Bhd arahan Ahmad Hashim, bakal menemui penonton di saluran Astro, Oktober ini.

Telemovie mengesahkan kehidupan seorang pengarah filem yang terpaksa bertukar kerjaya menjadi penghantar makanan selepas semua sektor termasuk industri hiburan ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu dilakonkan pelakon hebat Azhan Rani membawa watak utama sebagai Mat Runner.

Selain Azhan, telemovie yang menerapkan elemen komedi, sedih dan percintaan itu juga menyaksikan penampilan istimewa Amira Drummer yang memegang watak Lin iaitu anak kepada Mat.

Ahmad yang mesra disapa John turut mengenengahkan dua muka baru, Alifa Ilyana (Efa Molek FM) yang memegang watak minah runner bernama Sarah dan modeling dari Sabah, Norah Ting yang memegang watak Tim iaitu jiran Mat.

Menurut Ahmad, telemovie itu digarap hasil pengalaman sendiri yang terpaksa bekerja sebagai penghantar makanan ketika PKP.

Menurutnya, dalam telemovie berkenaan, Mat yang bekerja sebagai pengarah filem bebas (freelance) terpaksa menukar kerjaya dengan menjadi penghantar makanan bagi menampung kewangan mereka yang semakin susut.

“Semuanya bermula apabila anaknya, Lin membawa pulang beg tempat mengisi makanan milik seorang minah runner (Efa Molek FM) yang terbabit kemalangan ketika dia keluar membeli barangan dapur.

“Lin membawa pulang beg berkenaan selepas Sarah dibawa ke hospital dan mereka tidak dapat memulangkan beg itu kepada Sarah kerana Lin terlupa mendapatkan nombor telefon Sarah menyebabkan mereka terputus hubungan.

“Melihat bapanya mundar mandir dalam rumah memikirkan bagaimana untuk mengatasi masalah kewangan selepas PKP dilanjutkan, Lin mencadangkan bapanya menjadi penghantar makanan dengan menggunakan beg berkenaan dan menjadikan rakan-rakannya sebagai pelanggan.

“Perkembangan dua beranak ini menjadi perhatian jiran mereka yang kepoh lakonan Norah Ting yang dalam masa sama menyimpan perasan terhadap Mat,” katanya ditemui di lokasi penggambaran akhir, baru-baru ini.
Katanya, Mat Runner adalah sebuah projek PKP dan ia memaparkan 80 peratus suasana ketika PKP.

Jelasnya lagi, ia bertujuan menghargai golongan frontliners khusus mereka yang bekerja sebagai penghantar makanan yang menjadi watak penting ketika PKP selain petugas kesihatan dan anggota berunifom.

Ahmad berkata, semua golongan khususnya mereka yang bekerja sebagai runner perlu menonton telemovie berkenaan yang digarap khas bagi memartabat kerjaya penghantar makanan.

“Pelbagai kejadian suka duka dilalui Mat sepanjang menjadi penghantar makanan sebelum dia bertemu Sarah dan bagaimana cara pertemuan itu, orang ramai kenalah tonton telemovie Ini yang menjanjikan satu plot cerita yang sangat menarik,” katanya.

Pelancarannya dibuat di Kambing Cafe milik Mohd Zaid Ibrahim yang juga penerbit telemovie berkenaan oleh Datuk Dr Yusuf Haslam yang turut membintangi telemovie ini.

Barisan pelakon lain yang terbabit antaranya Salina Saibi, Datuk T.S Jefry, Datuk Amin Khan, Amir Raja Lawak, Husna Mustafa dan DyViana.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *