Kuala Lumpur: Konsert Mini Jeffrydin Mas Mona Night yang sepatutnya berlangsung Sabtu ini ditunda ke 16 September ini kerana ia jatuh pada hari sambutan Awal Muharam.
Pengarah Persembahan konsert itu, Amran Nasaruddin berkata, pihaknya mengambil keputusan ini selepas mengambil kira sensitiviti masyarakat terutama umat Islam.
“Tarikh ini jatuh sempena sambutan Awal Muharam dan kami berpendapat tidak sesuai Grand Barakah Hotel buat program di bulan yang dikira mulia ini.
“Walaupun niat kami nak membantu artis veteran, program ini dilihat tak sesuai dan perlu ditunda kepada tarikh lain. Cadangan awal nak ditunda kepada 31 Ogos ini, namun memandangkan Malam Merdeka, ramai artis termasuk Datuk Jeffrydin sendiri ada persembahan lain di Singapura, tarikh lain terpaksa dikenal pasti,” katanya kepada Harian Metro.
Amran yang juga pelakon dan aktivis teater berkata, selepas memikirkan sedalam-dalamnya, 16 September yang juga bersempena Sambutan Hari Malaysia – Keluarga Malaysia dipilih sebagai tarikh baharu mini konsert ini. “Waktu itu kebetulan semua artis tidak terikat dengan persembahan lain. Syukurlah ia dapat dilaksanakan juga,” katanya.
Terdahulu mengikut perancangan asal, konsert yang turut menampilkan penyanyi pop yeh yeh seperti Datuk L Ramlee dan S Mariam akan diadakan di Grand Ballroom, Grand Barakah Hotel, Ampang jam 8.30 malam Sabtu ini.
kreadit : Harian Metro