KUALA LUMPUR: Membina reputasi enam dekad dalam dunia muzik, penyanyi legenda, Datuk Jeffrydin, 75, sedih masih ada penganjur acara atau promoter di Malaysia suka mengambil kesempatan dan memperlekehkan status bintang veteran dengan menawarkan kadar bayaran tidak masuk akal.

Berkongsi pengalaman, Jeffrydin atau nama sebenar, Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman pernah menempelak seorang promoter yang meletakkan kadar bayaran yang didakwa sangat rendah bagi penyanyi veteran yang memiliki ratusan lagu sepertinya.

“Dalam insiden itu, promoter terbabit mahu membayar pada harga RM1,500 untuk persembahan sejam. Saya anggap ini sangat rendah.

“Jumlah ditawarkan itu adalah bayaran yang saya pernah terima pada zaman muda dahulu. Promoter terbabit kena tahu bagaimana hendak menilai orang lama seperti saya.

“Sepanjang enam dekad dalam dunia seni dan menyanyi di merata negeri sehingga ke seberang laut, belum pernah saya dibayar sebanyak itu.

“Khabarnya, majlis yang hendak dianjurkan boleh tahan besar. Apabila perkara ini terjadi, sudah tentu saya sedih. Disebabkan kecewa dengan perlakuan promoter terbabit, saya tidak terima tawaran itu,” katanya kepada BH Online.

Mengikut amalan standard, kadar bayaran untuk penyanyi nama besar termasuk ‘otai’ dalam mana-mana acara eksklusif dan majlis persendirian boleh mencecah RM30,000 bagi persembahan sejam, bergantung kepada skala persembahan, pemuzik dan faktor lain yang mempengaruhi harga.

Jeffrydin kesal kadar bayaran RM15,000 termasuk khidmat band yang lazim dikenakan bagi persembahan sejam tidak diendahkan promoter terbabit.

Selepas insiden itu, Jeffrydin yang popular dengan lagu Seruling Anak Gembala dan Kenanganku lebih selesa menyerahkan urusan berkaitan tawaran persembahan kepada isterinya.

“Promoter terbabit tergamam apabila saya bersuara mempertahankan hak. Enggan perkara sama berulang, apa sahaja yang berkaitan dengan tawaran show, saya serahkan kepada isteri.

“Walaupun ada pihak suka untuk berurusan secara langsung dengan saya, namun saya tolak kerana tidak mahu kata-kata saya mengguris hati sesiapa jika urusan itu menimbulkan rasa tidak puas hati mana-mana pihak,” katanya pada sidang media mengumumkan Konsert Mas Mona Night di Hotel Grand Barakah (GBH), Ampang, baru-baru ini.

Jeffrydin lebih selesa menyerahkan urusan berkaitan dengan persembahan kepada isterinya, Datin Rashidah Abdullah. - NSTP/Aziah Azmee

Jeffrydin lebih selesa menyerahkan urusan berkaitan dengan persembahan kepada isterinya, Datin Rashidah Abdullah. – NSTP/Aziah Azmee

Biarpun berdepan pengalaman pahit, Jeffrydin bersyukur masih ada pihak tahu menghargai dirinya sebagai penyanyi veteran.

“Di Sabah dan Sarawak, misalnya, masih ada promoter yang tidak berkira soal bayaran. Mereka tidak kisah untuk bayar berapa sahaja yang diminta.

“Bukan sahaja pemurah daripada segi bayaran, malah, mereka menyediakan pelbagai kemudahan lain seperti tiket penerbangan kelas perniagaan dan penginapan hotel mewah.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan. Saya terharu masih ada lagi insan yang tahu menghargai penyanyi lama seperti saya,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Konsert Mas Mona Night, penyanyi berasal dari Singapura ini akan mendendangkan lapan lagu bagi tempoh sejam.

“Mungkin penganjur hendak tengok sejauh mana kemampuan saya. Justeru, saya akan dendangkan lapan lagu.

“Sebelum pandemik COVID-19, saya pernah menyanyi 12 lagu untuk persembahan dua malam berturut-turut,

“Sebagai penyanyi, saya kena jaga stamina. Setiap pagi, selepas solat, saya akan ‘jogging’ dan ini sudah menjadi rutin.

“Jadi, isteri akan pastikan saya tidur awal iaitu kira-kira jam 10 malam. Selain beriadah, saya juga perlu mengawal pemakanan.

“Walaupun saya menggemari makanan ringan seperti kerepek, namun, demi kesihatan, isteri saya tidak benarkan,” katanya.

Konsert Mas Mona Night yang menampilkan irama pop yeh yeh bakal dianjurkan di Ballroom GBH, Sabtu ini. Acara diserikan dengan penampilan khas penyanyi yang popular dengan lagu Dara pujaan iaitu Datuk L Ramli dan S Mariam.

Penyanyi bakal diiringi band The Zurah 3 manakala pelakon dan pelawak otai, Abon, bertindak sebagai pengacara.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *