PETALING JAYA: Isteri kepada pelawak Shuk Sahar, Rossa Sera masih menyimpan perasaan sayang terhadap suaminya walaupun berdepan dengan kemelut rumah tangga yang tidak berpenghujung, sejak tahun lalu.
Bagaimanapun, Sera atau nama sebenarnya, Rossalennah Natassyiah Asshaferah perasaan sayang hanya sekadar kawan, tidak berlebihan.
“Mestilah masih ada perasaan sayang, tetapi sebagai kawan. Perasaan lain sudah tiada,” katanya kepada BH Online.
Ditanya adakah akan memberi peluang kedua kepada Shuk sekiranya suami menyesali perbuatannya, Sera berkata, perkara itu tidak difikirkan lagi.
“Kalau tanya adakah saya akan menerimanya kembali, saya tak tahu nak cakap. Ini kerana ia membabitkan masa depan yang belum pasti,” ujarnya.
Mengulas status rumah tangganya, Sera mengambil pendirian untuk mengunci mulut.
“Maaf, saya tak boleh nak ulas perkara itu,” katanya ringkas.
Sera ditemui pada majlis Meet & Greet Face Of Inayah Beauty di Bandar Utama, hari ini.
Mengulas hubungan Shuk dan anak-anak, Sera berkata, dia sentiasa memberi kebebasan kepada suami menemui anak-anak.
“Anak-anak ada dengan saya. Namun, Shuk sekarang menetap di Pulau Pinang.
“Apabila berada di Kuala Lumpur, Shuk boleh melawat anak-anak pada bila-bila masa.
“Jujurnya, saya tiada masalah jika Shuk bertemu dengan anak-anak. Saya juga tidak halang mereka bersama,” katanya lagi.
Shuk dan Sera mendirikan rumah tangga pada 2015. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Nur Qurratu Ain, 5 dan Nur Assyifatu Aimi, 2.
Kredit: Berita Harian