Kuala Lumpur: Penyanyi kumpulan Wings, Datuk Awie memberi masa sekitar 15 tahun untuk kumpulannya terus aktif sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni.
Menurutnya, beberapa tahun lalu dia memberitahu anggota Wings agar menghabiskan perjuangan dalam seni menerusi tempoh yang dikatakan.
“Namun sementara nak habiskan perjuangan ini, kita kalau boleh nak berikan sesuatu yang terbaik dan belum pernah kami rasa.
“Ini yang kita nak jaga supaya kita terus relevan walaupun di peringkat umur lebih 50 tahun,” katanya kepada Harian Metro.
Awie berkata, dia juga bercadang untuk merancang sesuatu yang lebih baik untuk kumpulannya yang dianggotai oleh Eddie, Black, Syam dan Edrie ini.
“Saya nak pelan sesuatu yang lain. Saya pernah beritahu mereka mungkin tahun depan atau tahun berikutnya kalau kita tak boleh nak buat apa-apa, rasanya lebih baik kita rehat setahun.
“Saya nak suruh mereka rehat dan saya akan cuba dapatkan drama bersiri atau apa-apa untuk mereka berlakon dan fokus pada lakonan dalam tahun itu. Insya Allah saya akan cuba capai impian itu.
“Saya juga nak bawa mereka ke teater muzikal di mana Wings akan beraksi ‘live’ sambil berlakon. Ini pun antara perancangan yang dibuat,” katanya.
Menurutnya, dia tidak mahu anggota Wings terikat dengan hanya satu perkara sahaja.
“Kita kembangkan kreativiti seni yang ada kepada benda-benda lain. Kalau orang nak pertikaikan berkenaan muzik, dah tak boleh lagi.
“Wings dah buat semua antaranya konsert muzikal, rockestra, dengan band tradisional dan macam-macam. “Apa lagi yang nak dinafikan dengan kumpulan ini? Ini pula saya nak buat. Tapi keutamaan kami tetap pada nyanyian dan persembahan,” katanya.
Menerusi perancangannya ini, Awie berharap anggota lain akan menikmati kehidupan yang lebih baik pada usia tua nanti.
“Perancangannya dalam tempoh 15 tahun ini kita nak cari rezeki supaya apabila kita bersara, pada hari persaraan itu kita dah ada keperluan yang cukup.
“Anak-anak dah besar. Semua dah okey dah kerja dan steady. Kita pun tiada masalah. Inilah benda yang kita nak buat.
“Hubungan saya dengan anggota Wings sangat best. Saya selalu berdoa kami kekal bersama sampai bila-bila,” katanya.
Awie turut merancang berangkat mengerjakan umrah bersama anggota Wings pada November ini sebagai menutup program mereka sepanjang tahun ini.
Kredit: Harian Metro