KUALA LUMPUR: Lima tahun berkahwin dengan anak tempatan, penyanyi kelahiran Indonesia, Yuka Kharisma makin serasi dan jatuh cinta dengan keunikan Malaysia.
Sejak mendirikan rumah tangga dengan pemuzik profesional, Ahmad Jeffny Kamar pada Mei 2016, Yuka suka dengan apa sahaja tarikan dimiliki Malaysia termasuk durian.
“Selain makanan, durian yang mendapat jolokan ‘raja buah’ juga antara yang saya suka. Bagi saya durian Malaysia terbaik di Asia Tenggara.
“Saya tidak boleh nafikan diri ini ‘hantu’ durian. Nikmatnya tidak terkata dan sukar digambarkan. Makan begitu sahaja atau nikmati dengan pulut dan cendol.
“Tetapi makan buah ini kenalah berpada-pada, jangan sampai tak ingat dunia,” katanya kepada BH Online.
Yuka yang pernah meraih trofi Artis Baharu Wanita Terbaik, Anugerah Planet Muzik (APM) Ke-15 menganggap Malaysia mempunyai banyak destinasi pelancongan menarik.
“Antara tempat menarik untuk dikunjungi seperti Melaka, Cameron Highlands, Pulau Pinang, Pulau Perhentian, Pulau Redang dan banyak lagi.
“Pada fasa peralihan endemik, saya dan keluarga tidak ketinggalan mencuri masa berkunjung ke lokasi terbabit,” katanya.
Mengenai karier seni, Yuka rancak mempromosikan single terbaru, Terpatri Di Hati hasil ciptaan bersama dengan suami.
“Idea di sebalik lagu ini datang daripada suami. Dia yang bertanggungjawab menulis lirik dan mencipta komposisinya.
“Sudah lama saya damba lagu ‘power ballad’ bertemakan klasik. Apabila mendengar demo buat kali pertama, hati terus terpaut,” kata penyanyi kelahiran Aceh, Indonesia ini.
Yuka berkata, lagu berkenaan berkisar kesetiaan insan dalam perhubungan yang melampaui batas atau tidak bersempadan.
“Hingga akhirnya, keadaan menyesakkan dan tidak mampu meneruskan kehidupan seperti biasa. Ibaratnya, seperti seseorang yang tidak boleh ‘move on’,” katanya yang turut sibuk mencipta lagu untuk beberapa penyanyi seperti Ernia Zakri.
Tambah Yuka, proses pembikinan single Terpatri Di Hati mengambil masa hampir sebulan kerana dia mahu mengetengahkan gubahan instrumen ‘organik’ daripada pemuzik profesional tanah air.
“Saya cintakan muzik. Muzik ciptaan saya berpaksikan pengalaman sendiri dan rasa saya.
“Sebagai pengkarya, muzik adalah medium buat saya ekspresi diri sambil menghiburkan pendengar melalui penceritaan muzikal.
“Saya nikmati setiap proses pembikinan muzik selain dapat belajar dan bekerjasama dengan pemuzik hebat tempatan dan luar negara,” katanya.
Kredit: Berita Harian