Kuala Lumpur: “Tak ada persengketaan, tak nak bermusuhan. Tak ada lagi masalah-masalah akan datang.”

Itu kata isteri pelawak popular, Shuk Sahar iaitu Rossa Sera mengenai status dan permasalahan rumah tangga mereka.

Rossa atau nama sebenarnya Rossalennah Natassyiah Asshaferah ketika dihubungi berkata, mereka masih mencari titik persetujuan bersama dan dalam masa sama, Sera tetap berharap masalah itu dapat diselesaikan tanpa sebarang persengketaan kerana tidak mahu bermusuhan atau bermasam muka dengan suaminya.

“Tapi apa-apa pun, kami serahkan kepada pihak berwajib bagi menguruskan semuanya. Sudah tentu saya berharap dapat selesaikan masalah ini dengan cara terbaik untuk kami berdua,” katanya.

Sera diminta mengulas mengenai video memperlihatkan Shuk berada di mahkamah bersama peguam yang dimuat naik suaminya itu di TikTok, Jumaat lalu.

Mengenakan kemeja hitam dan bersongkok, video yang tular itu seolah-olah memberi bayangan terkini mengenai status rumah tangga mereka yang berantakan.

Bagaimanapun, Sera ketika dihubungi tidak menjelaskan secara terperinci sama ada mereka dalam proses untuk berpisah atau sebaliknya.

Namun, dia memberi bayangan seolah-olah rumah tangga mereka bakal bertemu titik noktah.

“Apa yang saya harapkan selepas ini adalah saya dan Shuk tetap berusaha menjadi ibu dan ayah yang baik untuk anak-anak. Ini kerana kami masih mempunyai peluang untuk menjadi ibu dan ayah yang terbaik buat anak-anak kami. Insya-Allah bab jaga anak, saya dan Shuk tak ada masalah,” katanya.

Terdahulu, Sera muncul menerusi program MeleTOP menjelaskan hubungan mereka sudah menemui noktah dan sudah mengambil keputusan terbaik untuk kedua-dua belah pihak, Selasa lalu.

Sera sebelum ini pernah mendedahkan sudah memfailkan cerai terhadap Shuk pada November tahun lalu namun status rumah tangga mereka masih meninggalkan tanda tanya.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain, 5 dan Nur Assyifatu Aimi, 2.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *