KUALA LUMPUR: “Saya tak mahu orang lain… Syahmi sahaja.” Itu jawapan pelakon komedi dan YouTuber popular, Yoe Parey apabila ditanya keterbukaan membintangi naskhah selain arahan sahabatnya, Syahmi Sazli.

Yoe yang tampil dengan filem baharu arahan Syahmi dan Senibayan iaitu 35mm memberitahu, dia menolak tawaran daripada penerbit lain.

“Orang lain pernah datang ke rumah pujuk saya, tetapi saya tidak mahu… Saya tolak.

“Saya fikirkan Syahmi sahaja. Saya selesa berlakon dengan Syahmi sebab dia kenal saya bertahun-tahun.

“Kalau orang lain tanya, saya senyap terus,” katanya pada majlis mempromosikan filem 35mm di sebuah premis acara di ibu negara, kelmarin.

Turut hadir pemenang trofi Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, Asif Suhaimi.

Yoe berkata, soal bayaran bukanlah isu utama kerana dia berlakon disebabkan minat.

Tambahnya, dia cukup teruja beraksi dalam filem pengembaraan, fantasi dan komedi itu.

“Saya seronok dan bersemangat untuk tampil dengan filem ini. Saya harap filem ini mendapat sambutan sama seperti filem kami terdahulu, Mael Totey The Movie.

“Saya juga berharap filem ini disambung sebab saya suka menjayakannya. Walaupun penat, saya terus jalan,” katanya.

Yoe selesa bekerjasama dengan Syahmi disebabkan sudah kenal selama bertahun-tahun. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail
Yoe selesa bekerjasama dengan Syahmi disebabkan sudah kenal selama bertahun-tahun. – NSTP/Fariz Iswadi Ismail

Selain Yoe dan Asif, filem 35mm adalah Kenji Sawahii, Puteri Kapitan Hung, Hushairy Hussein, Melanie Tan, Ainul Yakin, Mohammad (Abe Mat), Xing Hu, MN Badri, Wea Selamos dan Mamu Abu.

Filem 35mm berkisar kisah tiga sahabat iaitu Syahmi, Asif dan Yoe yang terperangkap dalam penggambaran ke beberapa zaman berlainan selepas membeli sebuah kamera antik.

Antara zaman yang dilawati adalah era dinasti China, zaman jajahan Jepun dan pemerintahan British. Setiap era yang dilewati, pasti memberi cabaran yang perlu dihadapi bagi meloloskan diri.

Apabila mereka berada pada 1997, Yoe hiba kerana buat kali pertama, berjumpa ibu bapanya tetapi akhirnya, mereka perlu kembali kepada 2020 biar apa cara sekalipun.

Filem 35mm diterbitkan Nine Flix Production. Penggambaran dilakukan di beberapa lokasi di Pulau Pinang sejak Disember tahun lalu, sehingga Mac.

Penonton boleh mula melanggan filem 35mm melalui Astro First mulai sekarang.

Ketika ditayangkan pada 2020, Mael Totey The Movie yang menggandingkan Syahmi dan Yoe meraih kira-kira RM2.5 juta dalam tempoh empat hari ditayangkan di Astro First sejak 22 Oktober.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *