KUALA LUMPUR: Pelakon, penerbit dan pengarah, Fauziah Datuk Ahmad Daud mengagumi sifat Allahyarham Hamid Gurkha berdisiplin dan mempunyai komitmen tinggi dalam bidang lakonan wajar dicontohi.

Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy pernah bekerjasama dalam menjayakan drama bersiri 13 episod berjudul Maya bersama arwah sekitar 1990-an.

Katanya, dia bertuah dapat mengenali sisi berbeza pelawak bertaraf lagenda itu.

“Arwah melakonkan watak tukang kebun dalam drama bergenre thriller ini.

“Itu adalah kali pertama saya melihat sisi berbeza dalam diri arwah. Kita selalu melihat arwah sebagai pelakon komedi, tetapi amat berbeza apabila bekerja.

“Arwah begitu teliti dengan apa yang mahu dilakukan. Ada satu adegan saya harus menyoal siasat arwah.

“Dia meminta melakukan latihan kerana adegan ini agak sukar kerana arwah perlu jatuh disebabkan serangan jantung.

“Ketika itu, hujan renyai dan saya minta buat latihan dalam rumah, tetapi arwah menolak selepas melihat kru sedang menyusun lampu. Jadi, kami berlatih dalam hujan renyai,” katanya kepada BH Online.

Ogy berkata, melihat komitmen dan disiplinnya itulah yang membuatkannya kagum.

“Dan sikap inilah wajib dicontohi pelakon zaman sekarang.

“Melihat keupayaan arwah menjayakan drama ‘thriller’ itu membuktikannya mempunyai sisi lakonan berbeza dan tidak hanya berkebolehan menjayakan watak komedi,” katanya.

Ogy berkata, arwah mempunyai sisi lain yang mungkin tidak dapat dilihat oleh pengarah dan penerbit lain.

“Disebabkan itu, saya mengatakan seniman dan seniwati dahulu cara mereka bekerja amat berbeza. Dari segi komitmen, disiplin, penjiwaan dan penghayatan sukar dicari.

“Arwah mengingatkan saya kepada arwah ibu, Allahyarham Datin Saadiah Baharom dan guru, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin.

“Pun begitu, arwah tetap bergurau di lokasi penggambaran, tetapi orang berilmu tidak akan bercakap perkara remeh-temeh.

“Orangnya juga ceria dan sentiasa tersenyum. Walaupun lebih berusia, arwah tetap menghormati orang lebih muda. Tidak semua penggiat seni bersikap sedemikian, malah, arwah sangat merendah diri,” katanya.

Allahyarham Hamid menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, semalam.
Allahyarham Hamid menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, semalam.

Katanya, itulah kali pertama dan terakhir diberi peluang bergandingan bersama arwah.

“Walaupun hanya sekali, saya sangat bersyukur dan berbesar hati dapat mengenali figura seorang bapa dengan lebih dekat,” katanya.

Sementara itu, Ogy turut meluahkan perasaan ralat tidak berkesempatan menziarahi arwah ketika terlantar sakit di rumahnya.

Kata Ogy, dia mengetahui arwah uzur, namun dek kepadatan jadual tidak berpeluang berkunjung ke rumah arwah di Taman Seri Andalas, Klang.

“Saya sebenarnya ralat sebab saya tidak dapat menziarahi arwah. Apabila saya dapat tahu arwah terlantar, saya memang mahu pergi melawat, tetapi itulah kita hanya mampu merancang, Allah menentukan.

“Jadual saya terlalu padat dengan urusan kerja. Memang ralat, tetapi kali terakhir saya bertemu arwah pada majlis Anugerah Telenovela 2017.

“Saya adalah salah seorang yang terbabit memberi anugerah dan arwah menerima anugerah Tokoh Penghibur Sepanjang Zaman. Alhamdulillah, saya mempunyai pengalaman manis bersamanya,” katanya.

Terdahulu, Allahyarham Hamid menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, jam 2.19 petang semalam.

Bintang yang mula dikenali menerusi filem Panglima Badol pada 1978 itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sungai Jati, Kampung Jawa, Klang pada jam 9.50 malam, semalam.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *