KUALA LUMPUR: Hampir dua dekad ‘bersahabat’ dengan angklung, penyanyi Toy Nizam, 45, mengakui alat muzik tradisional itu banyak menabur jasa hingga sering membawanya mengelilingi dunia.

Selain hiburan, bekas pemain bass kumpulan Hyper Act itu bangga dapat memperkenalkan alat muzik tradisional berkenaan kepada orang luar.

Terbaru, Toy diundang ke Daengu, Korea Selatan sempena persidangan minyak dan gas pada akhir Mei lalu.

“Sejak bermain angklung pada 2003, saya sering diundang syarikat korporat untuk membuat persembahan di luar negara.

“Sudah seluruh pelosok negara saya usung angklung ini. Saya pernah diundang membuat persembahan di Denmark, Switzerland dan banyak negara lagi.

“Seronok melihat keterujaan orang luar terhadap angklung. Selain hiburan, saya menggunakan peluang ini untuk menjelaskan bagaimana alatan muzik ini dihasilkan.

“Ketika menjayakan persembahan di Daengu, sambutan diberikan cukup memberangsangkan.

“Rata-rata peserta persidangan kagum dengan alatan muzik yang saya mainkan. Lebih menyeronokkan, saya turut ditawarkan membuat persembahan di negara lain seperti Portugal dan Kanada,” katanya kepada BH Online.

Berkongsi lanjut persembahannya itu, Toy beraksi selama empat hari berturut-turut ketika persidangan antarabangsa itu berlangsung.

Persembahan angklung Toy pada acara persidangan minyak dan gas di Daengu, Korea Selatan berjaya memukau peserta dari luar negara.
Persembahan angklung Toy pada acara persidangan minyak dan gas di Daengu, Korea Selatan berjaya memukau peserta dari luar negara.

Toy atau nama sebenarnya, Khairul Nizam Baharom berkata, dia mendendangkan lagu popular untuk menarik perhatian.

“Saya memainkan lagu Sarangeun Amuna Hana yang popular di Korea Selatan. Saya tak sangka lagu persembahan mendapat liputan sebuah stesen televisyen.

“Lagu lain termasuk daripada kumpulan BTS dan Blackpink iaitu Kill This Love. Turut didendangkan, lagu dipopularkan Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Cindai,” ujar bekas peserta musim keenam program realiti, Akademi Fantasia (AF6) ini.

Berkongsi perkembangan terkini, Toy berkata, dia lebih selesa bergerak solo selepas meninggalkan kumpulan Hyper Act, empat tahun lalu.

Bukan serik, sebaliknya kata Toy, situasi itu lebih memudahkannya berkarya.

“Ketika menyertai AF dan Hyper Act, saya terpaksa melupakan angklung. Apabila bergerak solo, saya kembali dengan alatan muzik ini.

“Alhamdulillah, setakat ini, rezeki saya tidak pernah putus. Mungkin orang tak nampak apa yang dilakukan disebabkan kurang pendedahan, tetapi saya masih aktif di belakang tabir.

“Saya jadi produser dan menghasilkan lagu runut bunyi untuk drama TV disiarkan di pelbagai stesen penyiaran.

“Lagu dihasilkan turut menyelitkan bunyian angklung. Insya-Allah, keinginan menghasilkan single baharu tetap ada dan saya tetap mahu mengekalkan bunyian angklung kerana ia sudah menjadi tanda dagang saya,” ujarnya.

Ketika bersama Hyper Act, selain bermain bass, Toy bertindak sebagai vokalis kedua. Antara single pernah dihasilkan termasuklah Memori Cerita, Rindu Pengubat Luka dan Ya Allah!

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *