KUALA LUMPUR: Menggandakan keseronokan buat penonton, TV9 mula menyiarkan dua drama bersiri baharu selama dua jam iaitu Ada Apa Dengan Saka lakonan Syazwan Zulkifly dan Shiha Zikir melalui slot Diandra setiap Khamis, mulai jam 8.30 malam dan Air Mata Allisya gandingan hebat Keith Foo dan Sophia Albarakbah, keesokannya, mulai jam 8.30 malam, mulai minggu lalu.

Ada Apa Dengan Saka terbitan Saphire Screen Sdn Bhd adalah drama bersiri 20 episod yang diarah Nazir Jamaluddin dengan skrip dihasilkan Farhana Fauri dan MF Kencana.

Drama itu mengisahkan Aina lakonan Shiha dan Madi (Syazwan) jatuh cinta pandang pertama apabila Madi mengetahui kebolehan luar biasa Aina.

Cerita bermula apabila Aina terpaksa membawa diri ke bandar apabila penduduk kampung tidak dapat menerima kebolehan luar biasanya yang boleh melihat benda ghaib.

Aina bertemu Madi di bandar dan mereka jatuh cinta. Madi bertekad membantu Aina pulih daripada masalah dihadapi. Pada masa yang sama, Aina membantu merungkai masalah Madi dan keluarganya yang sering diganggu makhluk ghaib.

Drama bersiri 15 episod Air Mata Allisya yang diadaptasi daripada novel Air Mata Allisya karya Ain Zanowi menemui penonton TV9 setiap hari Jumaat, mulai jam 8.30 malam selama dua jam.

Diterbitkan Country Universal Sdn Bhd, drama ini diarahkan Kyoll Hamzah dan skrip dihasilkan Haida Mazni Mohammad.

Air Mata Allisya mengisahkan Allisya lakonan Sophia yang hidup berdikari selepas abangnya terbunuh dalam kemalangan tragis.

Allisya kemudian bertemu Arief (Keith) dan mereka jatuh cinta. Walaupun ibu Arief tidak merestui hubungan itu, mereka nekad berkahwin.

Datin Sarimah lakonan Anne Abdullah mula mendera Allisya secara fizikal dan mental. Suaminya, Datuk Mustapha (Tony Eusoff) pula melayannya seperti anak sendiri.

Apabila Datuk Mustapha berterus-terang dengan Allisya bahawa Arief adalah penyebab kemalangan tragis abangnya, Allisya melarikan diri daripada Arief kerana rasa dikhianati.

Pastikan anda tidak ketinggalan untuk menonton kedua-dua drama terbabit yang disiarkan selama dua jam mulai Khamis lalu Ada Apa Dengan Saka menerusi slot Diandra, setiap Khamis mulai jam 8.30 malam dan Air Mata Allisya pada setiap Jumaat, waktu sama.

Maklumat lanjut mengenai program menarik di TV9, layari Facebook rasmi (@TV9 Dihatiku), Instagram (@TV9Malaysia), saluran YouTube (@TV9Malaysia Official) atau tonton menerusi myFreeview CH109, Astro CH149, unifi CH109, tonton LIVE TV dan XTRA Live TV.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *