KUALA LUMPUR: Jika orang lain menjadikan aktiviti balik kampung sebagai satu kemestian ketika Syawal menjelma, berbeza pula situasi penerbit terkenal, Datuk A Aida.
Sejak enam tahun lalu, A Aida dan anak-anaknya menyambut Aidilfitri di luar negara.
A Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, 52, berkata, rutin itu bukanlah kerana tidak betah hidup di kampung, sebaliknya keputusan beraya di luar negara dibuat selepas pemergian arwah ibu bapanya.
“Sejak enam tahun lalu, kami akan bercuti di luar negara. Nak balik kampung pun bukan ada sesiapa kerana arwah emak dan abah sudah lama meninggal dunia.
“Jadi, saya akan minta anak-anak buat keputusan ke destinasi mana untuk kami bercuti.
“Sebelum ini, kami pernah beraya di Eropah, Hong Kong dan beberapa negara lain. Sepatutnya, kami merancang beraya di Switzerland, tetapi disebabkan rumah saya di Janda Baik, Pahang masih dalam proses ubah suai, hasrat terpaksa dipendam.
“Apabila tak dapat ke luar negara, kami bercadang bercuti ke Pulau Sipadan, Sabah. Tetapi, kami dimaklumkan, pusat pelancongan itu ditutup dan hanya dibuka pada hari raya ketiga.
“Disebabkan itu, kami memutuskan bercuti di Genting Highlands sahaja,” katanya kepada BH Online.
Ditanya apakah perasaannya meraikan lebaran di bumi asing, pemilik rumah produksi A Aida Production itu berkata, situasinya tidak ubah seperti merayakannya di tanah air.
“Ketika kami menyambut lebaran di Amsterdam, beberapa tahun di rumah seorang teman, kami rebus ketupat dan masak rendang. Walaupun jauh beratus ribu batu, kami tetap meneruskan tradisi agar semangat Hari Raya tetap dirasai.
“Malah, kami anak beranak pernah berbaju kurung ketika bercuti di Paris. Di manapun kami menyambutnya, semangat Aidilfitri tetap ada.
“Bagi saya, apa yang penting adalah dapat berkumpul bersama anak-anak pada hari mulia ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, produser filem Ratu Kala Jengking itu terkejut apabila anak keduanya, Wan Azevanatassha atau Natassha semakin dikenali selepas tular menerusi aplikasi TikTok, baru-baru ini.
Sebagai ibu, A Aida berkata, dia kagum dengan perkembangan itu memandangkan anak hasil perkongsian hidup bersama vokalis Spring, Ameng itu mempunyai pakej lengkap untuk bergelar artis.
“Sebenarnya, Natassha berada dalam dunia tersendiri dan suka memerap dalam bilik. Natassha ada rupa, suara sedap dan boleh bermain gitar iaitu pakej lengkap untuk menjadi seorang penyanyi.
“Namun, Natassha menolak jika saya sarankan untuk menjadi penyanyi. Dia menyanyi hanya untuk suka-suka, bukannya sampai tahap nak jadi penyanyi profesional.
“Sebelum ini, Natassha pernah ditawarkan menjadi model video muzik penyanyi Sufian Suhaimi.
“Bagaimanapun, Natassha menarik diri dengan memberikan pelbagai alasan, sehari sebelum penggambaran bermula,” bebel
A Aida yang kini berjinak-jinak dalam dunia penciptaan lagu dan penulisan lirik.
Disebabkan sayang bakat, A Aida meminta sahabatnya yang juga komposer terkenal, Sharon Paul memujuk Natassha supaya mempertimbangkan permintaannya yang mahu melihatnya menceburi bidang seni suara.
“Tuhan sudah kurniakan anugerah padanya. Sayang jika tidak dimanfaatkan. Sekarang ini, Natassha sudah selesai menjalani peperiksaan dan sedang berehat untuk tempoh beberapa bulan.
“Jadi, saya meminta Natassha berguru dengan Sharon. Manalah tahu Sharon boleh memujuknya untuk menjadi penyanyi,” katanya.
Selain Natassha, kakak sulungnya, Wan Az Aleesa, 26, juga boleh menyanyi. Aleesa dan Natassha, anak menerusi perkongsian hidup bersama Ameng.
Aleesa kini mengikuti pengajian peringkat Sarjana, manakala Natassha pula jurusan perakaunan di Universiti Teknologi Mara.
Kredit: Berita Harian