KUALA LUMPUR: Hujan lebat berterusan Selasa lalu menyebabkan beberapa kampung di Janda Baik, Pahang, dilanda banjir kilat, termasuk resort peranginan diusahakan penerbit dan pelakon, Puan Sri Tiara Jacquelina, iaitu Tiarasa Escapes Glamping Resort yang dinaiki air.

Dalam kejadian banjir kilat itu, antara kampung yang dilaporkan terjejas teruk dalam kejadian itu termasuklah Kampung Sum Sum, Kampung Pulau Santap dan Kampung Chemperoh, mengakibatkan 42 keluarga terpaksa berpindah ke lokasi selamat.

Menceritakan kejadian itu, Tiara berkata, banjir kilat menyebabkan beberapa khemah penginapan di tepi sungai dan kolam renang dinaiki lumpur.

Berikutan kejadian tidak diduga itu, Tiara terpaksa menutup resort peranginan itu selama tiga hari untuk membolehkan kerja pembersihan dibuat.

“Musibah banjir ini memaksa kami menghentikan operasi kerana insiden itu memberi kesan dan gangguan kepada bekalan air.

“Kami dengan berat hati meminta tetamu mendaftar keluar dan datang semula pada lain masa untuk merasai percutian di resort ini atas faktor keselamatan.

Tiara reda resort peranginan yang diusahakan sejak empat tahun lalu dinaiki air akibat banjir kilat di Janda Baik, Selasa lalu. Foto IG Tiara Jacquelina
Tiara reda resort peranginan yang diusahakan sejak empat tahun lalu dinaiki air akibat banjir kilat di Janda Baik, Selasa lalu. Foto IG Tiara Jacquelina

“Pihak pengurusan bertungkus-lumus membersihkan kolam dan khemah berhampiran dua sungai yang diliputi lumpur. Insya-Allah, Jumaat ini (semalam), kami dijangka beroperasi semula seperti biasa,” katanya.

Tiara berkata, banjir kilat itu lebih teruk daripada kejadian sama yang pernah berlaku, Disember lalu.

“Elok-elok beroperasi semula, terkena banjir kilat lagi.

“Sepanjang empat tahun kami beroperasi dan mengikut sejarah di Janda Baik, kejadian ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Insiden ini sangat menyayat hati, mengecewakan dan sangat sukar dihadapi,” katanya.

Namun, Tiara bersyukur Tiarasa tidak berdepan kerosakan teruk seperti beberapa resort dan penginapan lain di Janda Baik.

“Rasa sedih sangat apabila saya lihat video dan foto penginapan lain yang hanyut di bawa arus, ditenggelami air dan lumpur.

“Tabahlah komuniti Janda Baik,” katanya.

Sentiasa prihatin terhadap usaha memulihara alam sekitar, Tiara berharap kejadian seumpama itu tidak berulang lagi.

“Saya harap pihak berkuasa memeriksa dan memantau aktiviti haram dan tidak bertanggungjawab yang dilakukan hingga boleh memberi kesukaran kepada kami dan komuniti di Janda Baik,” katanya.

Tiarasa Escapes Glamping Resort yang beroperasi di tapak seluas tiga hektar menawarkan peluang kepada pengunjung bermalam dalam khemah ‘glamor’ di tepi sungai.

Tiara pernah meraih trofi Aktres Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) 1995 dan Festival Filem Asia Pasifik pada 2004.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *