KUALA LUMPUR: Penyanyi, pelakon dan pengacara, Soo Wincci yang baru sahaja mencipta sejarah apabila menjadi Miss World Malaysia pertama, dilantik sebagai Profesor Madya dalam bidang muzik turut mencuri masa melakukan kerja amal dan kebajikan sepanjang Ramadan.

Selebriti berbangsa Cina yang turut berpuasa sejak 11 tahun lalu bersyukur diberi kesempatan turun padang melakukan kerja amal dan memberikan contoh baik kepada insan memerlukan.

Beliau yang bergelar Ikon Islamic Relief Malaysia (IRM), baru-baru ini sempat mengikuti misi bantuan dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan itu.

“Saya menganggap Ramadan, tahun ini paling bermakna dalam hidup.

“Tambahan pula saya berpuasa di Sepanyol, sejak tiga tahun lalu. Kali ini, ada rezeki berpuasa di Malaysia.

“Tentulah berpuasa di tanah air lebih mengujakan dan meriah.

“Saya sangat seronok kerana pada hari pertama puasa berpeluang mengikuti aktiviti amal bersama IRM,” katanya kepada BH Online.

Soo Wincci anggap Ramadan paling bermakna dalam hidup, apatah lagi, diberi kesempatan berpuasa di tanah air selepas tiga tahun di Sepanyol. - Foto IG Soo Wincci
Soo Wincci anggap Ramadan paling bermakna dalam hidup, apatah lagi, diberi kesempatan berpuasa di tanah air selepas tiga tahun di Sepanyol. – Foto IG Soo Wincci

Pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu berkata, dia berpeluang mengagihkan bantuan makanan kepada komuniti Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) di Brickfields.

“Aktiviti ini turut mengubat kerinduan selepas dua tahun tidak dapat melakukan kerja kebajikan akibat penularan pandemik COVID-19.

“Jujurnya, agak lama saya menantikan detik turun padang melakukan kerja amal. Aliran kerja kebajikan turut berdepan kekangan dan segala serbi terbatas sejak dua tahun lalu.

“Jadi, tentunya apabila ada program amal, saya tidak akan melepaskan peluang turut serta dan membantu. Melalui program ini, saya berpeluang melihat sendiri realiti kehidupan masyarakat dan menyelami permasalahan mereka,” katanya.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *