KUALA LUMPUR: Secara kebetulan atau dirancang, kumpulan rock ikonik legenda, Search yang kini terbahagi kepada dua bakal tampil dengan dua konsert berbeza dalam tempoh seminggu.

Kembali bergabung bersama anggota asal ketika kumpulan ikonik yang ditubuhkan lebih empat dekad lalu, Search yang kini dibarisi dibarisi Amy (penyanyi), Hillary Ang (gitar), Man Kidal (gitar) dan Nasir Daud (bass) bakal menggegar Konsert Search Endemik di dewan konsert bertaraf dunia, Zepp Kuala Lumpur, Bukit Bintang City Centre pada 4 Jun depan.

Manakala, Search yang dianggotai Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bass), Denden (penyanyi) dan Minn (dram) akan beraksi di Konsert Search Rockin’ On Rooftop di bumbung Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi pada 11 Jun depan, seminggu selepas Amy dan rakan beraksi.

Amy menyifatkan konsert yang julung kali diadakan selepas penggabungan itu sebagai satu nostalgia buat peminat.

Amy atau Suhaimi Abdul Rahman, 63 memaklumkan konsert itu juga membawa mesej pengisian konsert adalah akar dan kekuatan kumpulan rock ikonik legenda itu.

“Projek konsert ini adalah satu daripada impian kami selepas penggabungan ini. Konsert ini juga bakal menterjemahkan identiti serta akar muzik Search asal.

“Namun, pada masa sama, kita bersedia untuk menerima pembaharuan demi untuk menarik peminat generasi muda.

“Bersesuaian judul konsert iaitu Endemik, selain lepas geram selepas dua tahun tidak dapat berbuat apa-apa berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), Search berasakan sudah tiba masanya untuk mengadakan konsert untuk peminat setia,” katanya kepada BH Online.

Kembali bergabung bersama anggota asal ketika kumpulan ikonik ditubuhkan lebih empat dekad lalu, Search kini dibarisi dibarisi Amy, Hillary, Man Kidal dan Nasir.
Kembali bergabung bersama anggota asal ketika kumpulan ikonik ditubuhkan lebih empat dekad lalu, Search kini dibarisi dibarisi Amy, Hillary, Man Kidal dan Nasir.

Sempena penganjuran konsert itu juga, Amy berkata, Search turut melancarkan dua single berjudul Endemik dan Endemik Tiada Akhirnya.

“Dua single ini ciptaan komposer muda dari Kota Kinabalu, Sabah. Dua lagu ini bakal menterjemahkan jenama Search yang masih berpijak kepada identiti asal dan pada masa sama, tidak pernah takut mencuba konsep muzik baharu.

“Untuk lagu Endemik, Search kembali mengetengahkan intro muzik lebih panjang iaitu durasi dua minit berbanding 10 hingga 15 saat, sebelum ini,” ujarnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Search X DTandoori di ibu negara, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Search turut memperkenalkan pemain dram yang bakal mengiringi persembahan pada konsert itu iaitu Joy yang juga pemuzik bebas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lol Asia, Rizal Kamal yang juga penganjur konsert memaklumkan, pemilihan Search disebabkan mereka yakin dengan kemampuan kumpulan ikonik selain didorong rasa minat.

“Sebagai peminat, menjadi impian saya untuk menganjurkan konsert Search. Akhirnya, impian menjadi kenyataan.

“Saya yakin kemampuan Search. Disebabkan itulah, saya memilih Zepp KL sebagai lokasi konsert kerana mempunyai fasiliti teknikal yang sangat bagus untuk penganjuran sesebuah konsert.

“Lokasi itu boleh menempatkan lebih 2,000 penonton. Namun, demi menjaga prosedur operasi standard (SOP), kami hadkan 1,600 penonton sahaja,” katanya yang turut merancang untuk membawa konsert ke bandaraya lain yang terpilih.

Tiket Konsert Endemik akan mula dijual mulai semalam (28 April). Maklumat lanjut mengenai pembelian tiket boleh melayari laman web lolasia.bigtix.io.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *