KUALA LUMPUR: Penerbit, Jaja Ishak dari Syarikat Kembara Sufi Production Sdn Bhd bersyukur penantian hampir 700 syarikat produksi yang berdaftar dengan Kementerian Komunikasi dan Media (KKMM) berakhir selepas RTM membuka semula permohonan bagi mengemukakan Pelawaan Kertas Cadangan (RFP) bagi penghasilan kandungan untuk stesen penyiar itu, mulai hari ini.

Jaja berkata, selepas dimaklumkan penutupan sesi saringan perolehan atau ‘pitching’ disebabkan RTM kehabisan bajet bagi tahun ini, penerbit kini boleh menarik nafas lega apabila stesen yang dianggap sebagai ‘lubuk emas’ itu kembali memberi peluang.

“Alhamdulillah, tahun lalu, syarikat produksi yang menerima peluang tidak ramai. Lebih kurang 200 tajuk sahaja yang dipilih.

“Jadi, apabila iklan sudah kembali dibuka, pasti ini memberi kelegaan kepada penerbit. Ramai yang mengakui RTM adalah ‘lubuk emas’.

“Selain menawarkan harga berpatutan, RTM juga memberi peluang sama rata kepada semua syarikat untuk mencuba nasib termasuk syarikat produksi baharu dan tidak dikenali,” katanya kepada BH Online.

Jaja berkata, pembukaan semula RFP di RTM bukan sahaja berita baik untuk penerbit, malah memberi kesan kepada ekosistem industri kreatif melalui tawaran kerja atau ‘job’.

“Mudah-mudahan untuk keperluan kandungan 2023, lebih banyak peluang yang ditawarkan berbanding sebelum ini,” katanya.

Baru-baru ini, BH Online melaporkan, RTM membuka iklan bagi penerbit mengemukakan RFP mulai hari ini hingga 10 Mei depan bagi sesi pertama membabitkan RFP Pembekalan Program TV Swasta Baharu Tempatan.

Sesi kedua pula membabitkan tawaran RFP Pembekalan Program TV Luar Negara dan Produk Siap Tempatan yang akan dibuka antara 1 Jun hingga 21 Jun depan.

Jaja berkata, khabar gembira itu secara tidak langsung memberi nafas baharu untuk ramai syarikat produksi tempatan terus berkarya.

Apatah lagi di RTM, penerbit berkemampuan menghasilkan program TV berbeza berikutan 14 kategori program TV ditawarkan bagi mengisi masa siaran di lima rangkaian saluran TV RTM.

“Kalau di stesen TV swasta, apabila sesebuah syarikat produksi itu dilihat mempunyai kepakaran dalam menghasilkan drama, ia diberi peluang menghasilkan drama.

“Tetapi di RTM, kita boleh menerbitkan dokumentari, majalah, sitkom, bual bicara dan banyak lagi. Ia tidak hanya tertakluk kepada drama sahaja.

“Biasanya di stesen TV swasta, untuk program selain drama, kebanyakannya dihasilkan ‘in house’ (stesen TV). Tetapi tidak di RTM.

“Di RTM, jika kita berjaya beroleh peluang untuk menghasilkan dua tajuk dokumentari, kita sudah boleh bernafas dengan lega dalam tempoh 12 bulan.

“Sebenarnya, RTM ada pengikut dan penonton setia di pantai timur Malaysia dan Sabah serta Sarawak.

“Jadi, ini antara faktor mengapa peluang dari RTM ini sangat dinanti-nantikan syarikat produksi tempatan,” katanya.

Sementara itu, mengenai keluhan beberapa pihak yang mendakwa sukar beroleh dana kerajaan bagi menerbitkan kandungan kreatif, Jaja memberi pandangan berbeza.

Jaja bersyukur permohonan dana atau insentif daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS)

dipermudahkan.

“Alhamdulillah, untuk pihak saya, semua urusan berkaitan permohonan dana, dipermudahkan. Pada pendapat saya, sebelum kita menghantar apa-apa kertas cadangan, kita kena buat kajian dan ‘homework’.

“Apabila kita faham apa yang dimahukan FINAS dan stesen TV, sudah tentu karya kita dipilih.

“Contohnya, FINAS mahukan bajet terperinci daripada praproduksi hingga pasca produksi, jadi, kita kena akur dan buat. Bukan sahaja cerita kita kena bagus, malah, dokumen disediakan perlu lengkap

“Jadi, bagi saya, tiada isu kerana kertas cadangan diadili secara saksama. Apabila ada yang dakwa pemilihan membabitkan ‘kroni’, pilih kasih dan sebagainya, itu hanyalah persepsi masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun, tambah Jaja, tidak semua kertas cadangan dihantar, diterima.

“Saya bukanlah selalunya bernasib baik. Misalnya, saya hantar 10 kertas cadangan, sembilan ‘proposal’ ditolak dan hanya satu diluluskan,” katanya.

Dalam perkembangan baharu, Jaja akan menerbitkan supertelefilem berbentuk kenegaraan Takkan Terlerai menggunakan dana yang diperoleh daripada FINAS.

“Apabila berlakunya pandemik COVID-19, kerajaan menawarkan beberapa inisiatif kepada penggiat seni termasuk Dana Kenegaraan.

“Jadi, kami ambil peluang untuk mengetengahkan cerita mengenai rasa cinta rakyat terhadap negara menerusi Takkan Terlerai.

“Kisah ini berkisar seorang pemain badminton yang berjaya mengharumkan negara,” katanya.

Selain itu, Kembara Sufi Production akan menerbitkan program khas sempena sambutan Maulidur Rasul iaitu Waris Muhammad.

“Rancangan itu bertujuan mendidik masyarakat mengenai contoh teragung umat Islam, Nabi Muhammad SAW.

“Kita boleh lihat masyarakat kita semakin rosak. Anak-anak zaman sekarang terlalu terdedah dengan media sosial. Jadi, dengan cara ini kita dapat mendidik mereka.

“Saya fikir industri kreatif ini ada platform besar untuk kita mendidik masyarakat. Kita boleh saja menggunakan medium ceramah agama di masjid, tapi ia hanya dihadiri oleh kumpulan sama.

“Kalau kita berkarya dalam bentuk yang lebih besar, penontonnya merangkumi pelbagai golongan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan meminta penerbit bersabar dan tidak mendesak RTM untuk mengadakan sesi saringan perolehan mengikut kehendak mereka.

Annuar menjelaskan RTM perlu menanti bajet diluluskan Kementerian Kewangan (MOF) sebelum sesi saringan

perolehan baharu dapat dibuat.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *