Kuala Lumpur: “Saya menegaskan bahawa saya tidak pernah lari dari tanggungjawab.”
Itu kata pelakon, Ben Amir, 32, menerusi kenyataan rasmi yang dimuatnaik di Twitter berhubung kes saman pelanggaran kontrak membabitkannya dengan syarikat produksi Elisa Vision Sdn Bhd ketika membintangi drama Demi di Inverness, Scotland pada awal Mac 2020.
Dalam kenyataan itu, Ben atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin berkata, keputusannya untuk pulang ke tanah air adalah atas faktor kesihatan dan keselamatan.
“Covid-19 akhirnya mengajar saya bahawa tiada siapa yang menang.
Pandemik ini tidak berpihak dan saya percaya bahawa adalah pilihan kita untuk membuat apa yang perlu apabila dipaksa untuk berada di dalam keadaan sedemikian.
“Keputusan saya untuk pulang ke Malaysia adalah disebabkan faktor kesihatan dan keselamatan,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Ben juga menegaskan bahawa isu itu sudah diselesaikan secara baik.
“Dalam bulan yang penuh keberkatan ini, kedua-dua pihak suda memilih untuk mengetepikan perbezaan dan kebanggaan kami. Satu kompromi sudah dicapai di antara kedua-dua pihak pada hari pertama kes itu seharusnya dibicarakan.
“Satu persetujuan sudah direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen tanpa sebarang pengakuan liabiliti.
“Ia jelas bermaksud bahawa pihak mahkamah tidak membuat apa-apa penemuan bersalah terhadap saya.
“Oleh itu, saya menegaskan sekali lagi bahawa pertikaian itu sudah diselesaikan secara damai dan seperti yang sudah juga saya maklumkan di perkarangan mahkamah, ia diselesaikan dengan cara baik’,” katanya.
Dalam masa sama, Ben memaklumkan dia juga bersedia untuk bekerjasama dengan pihak Elisa Vision Sdn Bhd sekiranya ada ruang sekali lagi.
“Saya tidak mempunyai sebarang perasaan negatif terhadap Elisa Vision. Sekiranya di dalam perjalanan karier kedua-dua pihak jalan kami bertembung sekali lagi, Insya-Allah, saya bersedia untuk bekerjasama dengan pihak Elisa Vision,” katanya.
Khamis lalu, Harian Metro melaporkan, Ben selaku defendan bersetuju membayar RM100,000 kepada Elisa Vision Sdn Bhd selaku plaintif.
Terdahulu, kemelut membabitkan Ben dan syarikat produksi itu bermula pada 27 Mac 2020 apabila dia didakwa pulang ke Malaysia secara sendiri meninggalkan semua kru produksi dan pelakon.
Tindakan itu dianggap tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri kerana dia tidak menghabiskan penggambaran drama berkenaan yang dijalankan di Scotland.
Difahamkan, Ben juga enggan menyiapkan baki penggambaran drama itu di Malaysia dan tempatnya terpaksa digantikan dengan pelakon lain serta produksi perlu membuat penggambaran semula.
Kredit: Harian Metro