KUALA LUMPUR: Kebimbangan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) berhubung isu sesi saringan perolehan (pitching) bakal berakhir apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) mempelawa pembekal yang berdaftar dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengemukakan Pelawaan Kertas Cadangan (RFP).

Ia bagi pembekalan Program Televisyen (TV) Swasta Baharu Tempatan, Luar Negara dan Produk Siap Tempatan untuk siaran RTM pada 2023.

RTM menerusi kenyataan dikeluarkan berkata, iklan akan dibuka antara 20 April hingga 10 Mei ini untuk sesi pertama membabitkan RFP Pembekalan Program TV Swasta Baharu Tempatan, manakala sesi kedua pula membabitkan tawaran RFP Pembekalan Program TV Luar Negara dan Produk Siap Tempatan yang akan dibuka antara 1 hingga 21 Jun ini.

“Sebanyak 14 kategori program TV akan ditawarkan bagi mengisi masa siaran di lima rangkaian saluran TV RTM, iaitu TV1, TV2, TV Okey, Saluran Berita dan Saluran Sukan.

“Antaranya drama, telefilem, majalah, dokumentari, animasi, travelog, bual bicara, sambung siri, realiti, sukan, candawara, cereka, muzikal dan terbuka.

“Namun, ada kelainan perolehan kali ini adalah memperkenalkan kategori terbuka. Pembekal boleh mengemukakan kertas cadangan penerbitan yang tidak tertakluk kepada konsep Penyataan Keperluan (Need Statement) yang ditetapkan oleh pihak RTM.

“Kelainan ini memberi fleksibiliti kepada pihak pembekal mengemukakan konsep yang difikirkan sesuai untuk siaran RTM berdasar tema program yang dinyatakan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, RTM akan mengenakan syarat baharu iaitu mengehadkan jumlah penerbitan kepada setiap pembekal untuk mengelakkan berlakunya dominasi.

“Untuk tahun ini, setiap pembekal hanya boleh mengemukakan sebanyak dua tajuk untuk mana-mana kategori RFP bagi pembekalan Program TV Swasta Baharu Tempatan; manakala tiga tajuk bagi Pembekalan Program TV Luar Negara (Syndicated), serta masing-masing dua tajuk bagi Produk Siap Tempatan dan satu program Sambung Siri,” kata stesen penyiaran milik kerajaan itu.

Syarat penyertaan dan penyataan keperluan (Need Statement) boleh diperoleh menerusi laman sesawang www.rtm.gov.my dan www.kkmm.gov.my.

RTM menambah sesi lontaran idea bagi program TV Swasta Baharu Tempatan dijangka akan diadakan pada 5 Julai ini, manakala sesi Saringan Pratonton perolehan Program Siap Terbitan Luar Negara Negara dan produk Siap Tempatan akan menyusul dua minggu kemudian iaitu 18 Julai ini.

“Tawaran perolehan RFP pembekalan program TV Swasta Baharu Tempatan dan Program Siap Terbitan Luar Negara dan Produk Siap Terbitan Tempatan tahun ini bagi keperluan siaran RTM pada 2023 dijangka akan memberi manfaat kepada hampir 700 syarikat yang berdaftar dengan KKMM,” katanya.

Terdahulu, BH melaporkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa meminta penerbit TV bersabar dan tidak mendesak RTM untuk mengadakan sesi saringan perolehan mengikut kehendak mereka.

Memberikan alasan RTM sudah kehabisan bajet untuk tahun ini, Annuar berkata RTM perlu menantikan bajet yang diluluskan Kementerian Kewangan (MOF) sebelum sesi saringan perolehan baru dapat diadakan yang dijangka berlaku antara Mei dan Jun atau sebelum akhir tahun, bergantung kepada bajet.

Sebelum itu, Presiden PTVM, Datuk Jurey Latiff Rosli menyifatkan nasib golongan penerbit kini bagai telur di hujung tanduk apabila masih belum ada sebarang pengumuman pihak RTM mengenai sesi saringan perolehan seperti tahun-tahun sebelumnya.

Situasi itu menimbulkan keresahan dalam kalangan syarikat produksi ang banyak bergantung kepada stesen penyiaran berkenaan yang dianggap sebagai lubuk emas buat golongan penerbit.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *