KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer yang mewakili generasi muda, Aina Abdul menganggap penggunaan bahasa Melayu dan Inggeris dalam sebuah lagu, bukanlah salah.
“Bahasa tetap bahasa, sama ada bahasa Melayu atau Inggeris. Kedua-dua bahasa tergolong dalam jenis bahasa yang ada di muka bumi.
“Soalnya, bagaimana kita menggunakan bahasa itu. Jadi, saya fikir, sebagai penulis lirik, saya tidak nampak perkara ini sebagai masalah.

“Sebaliknya, saya lihat perkara ini suatu evolusi,” katanya kepada BH Online.
Aina mengulas kecenderungan komposer muda mencipta lagu ‘rojak’ atau dwi-bahasa yang dikhuatiri merosakkan keindahan bahasa selain menghilangkan bait puitis dalam lagu.
Aina berkata, penghasilan karya dwi-bahasa dalam lagu boleh dianggap suatu perkembangan sihat.
“Ini kerana kita mahu bahasa Melayu dikenali di persada dunia,” katanya.
Memberi contoh lagu Korea Selatan dendangan kumpulan BTS, Aina berkata, karya dihasilkan mereka berjaya di negara asal dan antarabangsa.
“Mengapa lagu K-Pop sangat dekat dengan kita? Lagu itu diterima di Malaysia dan seluruh dunia. Salah satu sebabnya adalah mereka memasukkan elemen bahasa Inggeris di dalam lagu mereka.
“Bahasa Inggeris bukanlah bahasa utama mereka, namun, mereka masih menggunakannya dalam lagu dan mencantikkannya. Secara tidak langsung, lagu mereka diterima di luar negara.
“Jadi, bagi saya, dua bahasa dalam satu lagu, tidak menjadi isu atau masalah besar dan terpulang kepada penulis lirik.
“Selagi lagu itu masih mempunyai makna yang kita boleh fahami dan pelajari, itu sudah memadai,” katanya.
Kredit: Berita Harian