KUALA LUMPUR: Penulis lirik terkenal, Ahmad Fedtri Yahya berpendapat kurangnya ilmu dalam kalangan penulis lirik era baharu membuatkan karya dihasilkan tidak secantik bahasa pencipta lirik berpengalaman.
Ahmad Fedtri berpendapat anak muda perlu menghadiri bengkel atau kursus formal sebagai asas.
“Tidak rugi kita menghadiri bengkel sebab ia mampu membuka minda dan jiwa. Jangan ego dan jadikan semua teguran sebagai jambatan mendaki kejayaan. Luaskan pembacaan dan pendedahan kepada ilmu.
“Saya lihat macam penulis lirik sebelum ini seperti Datuk Habsah Hassan dan Lukhman S. Mereka bermula dengan kerja atau latar belakang yang membantu mereka seperti alih bahasa dan sebagainya.
“Jadi, mereka ada pengalaman luas dalam bidang penulisan. Jadi, mereka lebih faham kerana ada pendedahan,” katanya kepada BH Online.
Ahmad Fedtri mengulas kecenderungan komposer muda menghasilkan lagu dwi-bahasa yang dikhuatiri merosakkan keindahan bahasa Melayu selain hilangnya bait puitis dalam lagu.
Ahmad Fedtri berkata, melalui pemerhatiannya, individu yang berjaya di platform TikTok dan YouTube, misalnya, mencipta lagu atas dasar minat semata-mata.
“Saya tidak pasti apakah mereka ada inisiatif untuk menyertai bengkel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau seumpamanya,” katanya.
Tambah Ahmad Fedtri, bengkel seumpama itu membolehkan peserta lebih memahami bahasa serta keperluan dan tanggungjawab dalam menulis.
“Namun, ia bergantung kepada kesanggupan dan minat seseorang untuk menambah ilmu,” katanya.
Bertanya apakah wajar lirik lagu dicampurkan bahasa Melayu dan Inggeris, Ahmad Fedtri menganggap bahasa Melayu sudah cukup indah dan tidak perlu ‘dirojakkan’.
“Kalau sudah ada bahasa Melayu, kenapa perlu lagi pinjaman? Melainkan sudah tidak ada istilah sesuai, maka, bolehlah kita pinjam tetapi kena bijak olah susunan ikut konteks.
“Ada yang rasa bombastik tapi sebenarnya ia menghilangkan keaslian karya. Bagi saya ada yang mencampurkan bahasa hanya sekadar suka-suka.
“Saya anggap mereka pun tidak terfikir soal peranan dan impak terhadap bahasa kebangsaan dan sebagainya.
“Bagaimanapun, ia berbalik kepada jiwa dan matlamat penulis itu sendiri, iaitu apa yang awak mahu sampaikan kepada masyarakat,” katanya.
Kredit: Berita Harian