PETALING JAYA: Zain Sulaiman, 50, iaitu abang kepada Yasin memberitahu, anak-anak penyanyi dan komposer itu sangat kuat berdepan ujian membabitkan bapa mereka.
Zain berkata, dua anak Yasin berusia tujuh dan 12 tahun, sedar perkara yang sedang dihadapi bapa mereka.
“Dua anak Yasin menaruh harapan tinggi terhadap bapanya untuk pulang ke rumah… Mereka sangat tabah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini, hari ini.
Yasin berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac lalu.
Yasin atau nama sebenarnya, Muhammad Yasin Sulaiman, 47, kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Mengikut pertuduhan, penyanyi popular dengan lagu Mimpi Laila didakwa mengedar dadah jenis ganja anggaran berat 214 gram.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara di sini, pada jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Sementara itu, Yasin mengaku tidak bersalah bagi satu lagi pertuduhan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin di Mahkamah Sesyen.
Tertuduh didakwa menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(B)(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Al-Saifi Hashim dan Asnawi Abu Hanipah manakala tertuduh diwakili peguam Yusmadi Yusoff.
Bagi kedua-dua prosiding itu, mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap Yasin dan menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, peguam Yusmadi Yusoff yang mewakili Yasin memaklumkan penyanyi dan komposer itu melalui fasa perceraian dengan isteri yang memburukkan kesihatannya, namun dikelilingi ahli keluarga dan kenalan yang sentiasa memberi sokongan.
Yusmadi berkata, Yasin juga tiada rekod negatif dan banyak memberi inspirasi kepada masyarakat menerusi karyanya sebelum ini, lapor Harian Metro Online.
Terdahulu, Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen dimaklumkan Yasin menghidap bipolar sejak 2009 dan memerlukan rawatan susulan, dengan rawatan terakhir diterimanya pada dua bulan lalu.
Yusmadi memohon pertimbangan mahkamah untuk rawatan anak guamnya, sebelum mahkamah mengarah perkara itu dibawa ke pengetahuan Jabatan Penjara.
Kredit: Berita Harian