KUALA LUMPUR: Mengangkat tema ‘Ikhlaskan Jiwa, Dekat DenganNya’ bagi melatari Kempen Ramadan 2022, Awesome TV menyajikan lebih 50 program menarik pelbagai genre yang bakal menemui penonton mulai 3 April ini.

Berkongsi pengisian program Ramadan, Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli berkata, setiap program disediakan bukan sahaja menepati cita rasa penonton setia mereka, malah, menterjemahkan tema dipilih.

“Tema ini dipilih selepas melihat kesan yang ditinggalkan berikutan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu.

“Kesannya bukan sahaja daripada segi kewangan, malah, emosi kerana membabitkan orang sekeliling seperti keluarga dan teman-teman.

“Biarpun menghadapi pelbagai musibah, namun, kita harus cekal untuk kembali bangkit meneruskan kehidupan. Untuk itu, kita kena kembali kepada Pencipta.

“Justeru, sejajar dengan tema dipilih, kita sediakan program menepati konsep Ramadan serta menyuntik inspirasi selain mengangkat semula semangat rakyat Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID-19,” katanya pada majlis Ramadan Screening Awesome TV di Petaling Jaya, kelmarin.

Majlis itu turut dihadiri selebriti terkenal seperti Datuk Awie, Datuk Hattan, Amelia Henderson, Wanna Ali, Suki Low, Nikki Palikat, Naqiu, Norlia Ghani dan ramai lagi.

Menyedari ketandusan drama ‘air mata’ yang sebelum ini cukup digemari penonton, Ezzan berkata, mereka mengambil inisiatif untuk mengembalikan konsep sebegitu dalam slot drama terbitan Awesome TV.

“Menerusi drama berjudul Jeman hasil sentuhan Rashid Sibir, kami ingin kembalikan semula nostalgia penonton terhadap konsep drama yang mampu menyentuh naluri dan boleh dijadikan iktibar.

“Tidak dinafikan agak lama kita tidak saksikan drama berat seperti ini. Selepas berbincang dengan Rashid, kami mengaturkan sesi ‘pitching’ dengannya untuk pembikinan telefilem ini.

“Namun, kami tetap sajikan drama ringan supaya lebih seimbang dan memberi kepuasan kepada penonton yang pelbagai latar belakang,” katanya.

Selain Jeman, drama lain yang bakal menemui penonton adalah Antara Ikhlas dan Kaca lakonan Luqman Hafidz, Wanna Ali, Aleza Shadan dan Zain Hamid.

Awie menjadi tonggak utama dalam drama Sudin Dah Kaya yang akan disiarkan Awesome TV, Ramadan ini. Foto Ihsan Awesome TV
Awie menjadi tonggak utama dalam drama Sudin Dah Kaya yang akan disiarkan Awesome TV, Ramadan ini. Foto Ihsan Awesome TV

Turut ditayangkan drama Sudin Dah Kaya yang menampilkan figura rock, Datuk Awie sebagai tonggak utama bersama Zalif Sidek, Umar Dzariff dan Marissa Yasmin.

Untuk peminat filem Melayu lama, stesen terbabit turut menyiarkan filem lakonan Seniman Agung Negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee seperti Do Re Mi, Nasib Do Re Mi, Laksamana Do Re Mi dan Masam Masam Manis.

Manakala slot Filem Kita pula membawakan seleksi filem tempatan malar segar pilihan seperti 7 Petala Cinta, Semerah Cinta Steletto, Syurga Cinta dan Aku Terima Nikahnya.

Pada majlis itu, Awesome TV bersama Koperasi Amanah Pelaburan Berhad atau KAPB turut menghadiahkan 15 unit permaidani eksklusif dari Masjidil Haram, Makkah kepada 15 masjid terpilih di Lembah Klang.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *