Kuala Lumpur: “Memikul tanggungjawab sebagai pelakon bukanlah mudah. Apatah lagi apabila terpaksa bermain dengan emosi. Saya sehingga demam kerana komited terhadap watak.

“Namun, tidak bermakna saya akan berhenti atau bersara daripada bidang lakonan kerana ia adalah punca rezeki serta minat saya. Cuma berlakon bukan sekadar mengejar populariti semata-mata”.

Itu kata pelakon popular, Remy Ishak, 40, mengenai kerjaya sebagai pelakon yang mungkin diambil mudah oleh segelintir pihak.

Menjadikan bidang lakonan sebagai sumber pendapatan, Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimie Ishak komited setiap kali diberikan kepercayaan oleh pengarah atau penerbit.

Sehubungan itu, Remy berharap drama terbaru lakonannya berjudul Jangan Menangis Cinta yang mula bersiaran hari ini setiap Isnin hingga Khamis di Astro Ria mendapat sambutan hangat kerana memaparkan jalan cerita berbeza.

“Drama lakonan saya ditayangkan setahun sekali. Jadi, saya harap drama ini akan menjadi fenomena dan sebutan semua orang. Insya-Allah.

“Dari aspek pemilihan pelakon, pengarah dan penulis skrip semuanya sangat tepat. Bagi saya, drama ini karya yang bagus dan banyak memberi pengajaran melalui karakter dipaparkan.

“Saya tahu orang akan benci watak Zafran dalam drama ini kerana sikap egois dan pemarah. Mungkin ada yang melemparkan murtabak, air dan makanan kerana benci akan Zafran,” katanya.

Menurut Remy, watak Zafran adalah seorang lelaki pemarah, ego dan benci kepada anaknya sendiri, malah turut mendera kanak-kanak itu.

Drama adaptasi novel karya Siti Rosmizah yang menggandingkan Remy dan Amyra Rosli itu diarahkan oleh Raja Mukhriz.

Kreadit : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *