KUALA LUMPUR: Melihat peningkatan kes jangkitan COVID-19 di Malaysia, Amyra Rosli reda dan hanya mampu bertawakal apabila terpaksa keluar bekerja dan melunaskan tanggungjawab sebagai pelakon.

Amyra yang juga ibu dua anak mengakui tidak mampu mengelak jangkitan virus COVID-19 biarpun sedaya upaya menjaga prosedur operasi standard (SOP).

Amyra reda dan bertawakal setiap kali bekerja di set penggambaran ketika jangkitan COVID-19 masih tinggi dalam kalangan komuniti. Foto IG Amyra Rosli
Amyra reda dan bertawakal setiap kali bekerja di set penggambaran ketika jangkitan COVID-19 masih tinggi dalam kalangan komuniti. Foto IG Amyra Rosli

“Saya sekeluarga sudah dijangkiti COVID-19. Kita sudah tidak boleh hendak elak. Ada yang terlalu berhati-hati pun kena juga, seperti saya,” katanya kepada BH Online.

Mengikut pemerhatiannya, apabila pelakon disahkan positif COVID-19, situasi itu memberi kesan kepada proses kerja atau aktiviti penggambaran.

“Penolong pengarah yang pening selepas bergilir-gilir pelakon kena kuarantin tujuh hari. Jadi, kasihan kepada syarikat produksi untuk mengubah jadual dan sebagainya. Apatah lagi semua orang ada jadual tersendiri.

“Tetapi, setakat ini, kami di set penggambaran Jangan Menangis Cinta, baik-baik sahaja,” katanya.

Ketika ditemui pada sidang media drama baharu, Jangan Menangis Cinta, Amyra baharu saja selesai menjalani kuarantin ekoran jangkitan COVID-19, minggu lalu.

Berkongsi lanjut mengenai drama arahan Raja Mukhriz yang menggandingkan dirinya dan Remy Ishak itu, Amyra selesa berlakon dengan hero Malaya itu sebagai pasangan suami isteri, biarpun masing-masing sudah berkahwin.

Amyra yang pernah bekerja dengan Remy ketika masing-masing masih solo, mengakui komitmen diberi Remy memudahkan kerja penggambaran.

“Sangat senang bekerja dengan Remy. Kami pernah bekerjasama sebelum masing-masing berkahwin.

“Petuanya adalah latihan. Jadi, apabila Remy rajin berlatih, kita rasa senang hendak membawakan watak di hadapan kamera. Semua itu menjadi mudah apabila ada keserasian,” katanya.

Amyra berharap drama lakonannya bersama Remy menjadi sebutan ramai apabila ditayangkan mulai 21 Mac ini di saluran Astro Ria.

“Kami sudah lalui pahit manis di set penggambaran ini. Jadi, kami berharap apa yang disajikan dapat sambutan dan menjadi sebutan, lagi-lagi pada Ramadan.

“Kami juga berharap netizen dapat terima apa yang baik dan buruk dalam drama ini. Sejujurnya, apabila kami hadiri tayangan perdana, kami nampak sesuatu dalam drama ini.

“Mungkin apabila berlakon di set kami tidak sedar. Tetapi apabila ditonton semula sentuhan Raja Mukhriz dan karya Siti Rosmizah, kami jadi tergamam.

“Semuanya cantik baik dari segi suntingan sehingga runut bunyi yang sedap,” katanya.

Jangan Menangis Cinta turut dibintangi Rita Nadira, Halim Radzi dan Sharifah Fathimah Hawra.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *