KUALA LUMPUR: Aktres popular, Erra Fazira mendedahkan kemunculannya dalam segmen Pagi Di Sinar menerusi stesen Sinar FM sejak Isnin lalu hanya sementara sahaja.

Pelakon, penyanyi dan pengacara berusia 48 itu berkata, dia hanya menggalas tanggungjawab mengendalikan segmen pagi bersama Angah, Jepp dan Rahim selama sebulan.

Mengulas perasaannya terpaksa memulakan tugas seawal 6 pagi, Erra menganggapnya tugasan mencabar dan masih cuba menyesuaikan diri.

“Setakat tiga hari ini, Alhamdulillah… Bahagian paling mencabar ialah menyesuaikan badan kerana saya perlu bangkit seawal jam 4 pagi, setiap hari untuk ke konti radio.

“Rasa nak demam dan lemau pun ada, mungkin badan masih terkejut. Insya-Allah, saya percaya dapat menyesuaikan diri, tidak lama lagi.

“Bagaimanapun, pengalaman bekerja di konti radio sesuatu yang sangat menyeronokkan. Ini kerana seperti kita sedia maklum, pasukan Pagi Di Sinar terkenal dengan telatah dan bicara lucu,” katanya kepada BH Online.

Erra menganggap tugasan sebagai penyampai radio mencabar dan masih cuba menyesuaikan diri. - Foto IG Erra Fazira
Erra menganggap tugasan sebagai penyampai radio mencabar dan masih cuba menyesuaikan diri. – Foto IG Erra Fazira

Bekas Miss Malaysia World 1992 itu berkata, dia jadi lebih bersemangat apabila kemunculannya dapat menceriakan pendengar dan membawakan aura positif.

“Selain seronok dapat ke udara bersama tiga penyampai yang dikenali dengan keletah dan lawak lucu, saya juga rasa bersemangat dapat menceriakan pagi pendengar Sinar FM.

“Setakat ini, rasa amat seronok kerana ia adalah satu pengalaman baharu buat saya,” katanya.

Sementara itu, adakah mempunyai hasrat menjadikan kerjaya penyampai radio sebagai sepenuh masa, penyanyi lagu Pasrah itu berkata, soalan itu agak mencabar untuk dijawab.

“Kalau ditanya adakah saya ingin terus menjadi penyampai radio, soalan ini agak mencabar. Tetapi, saya perlu melihat kepada kemampuan badan sama ada larat atau tidak.

“Sekiranya ada tawaran mungkin saya perlu melakukan solat istikharah dan mempertimbangkan sebaik-baiknya,” kata Erra.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *