KUALA LUMPUR: Tidak merasakan kehadirannya terlambat, penyanyi baharu, Adami Hairi, 32, percaya rezeki setiap manusia sudah disusun dan diatur dengan sebaiknya.

Justeru, petugas barisan hadapan di Pejabat Kesihatan Daerah Jasin, Unit Kawalan Penyakit itu tidak kisah berdepan persaingan, biarpun menyedari kehadiran ramai penyanyi baharu yang lahir, setiap hari.

Adami berkata, dia hanya ingin mencuba nasib secara serius sebagai penyanyi selepas sekian lama menyertai pelbagai pertandingan, menyanyi pada majlis kahwin, karnival dan mengetengahkan lagu saduran dalam laman sosial.

“Saya sudah menyanyi sejak berusia 18 tahun, tetapi saya mula masuk dalam industri secara serius pada 2019.

“Bagaimanapun, saya tersilap membuat percaturan kerana single pertama berjudul Forte dikeluarkan ketika hampir fasa pandemik. Saya pula bertugas sebagai petugas barisan hadapan, jadi tuntutan kerjaya menyebabkan masa agak terhad mempromosikan lagu.

“Namun, saya tetap terharu ramai belum mengenali diri saya, lagu Forte mendapat tempat di hati pendengar sehingga pernah muncul sebagai juara carta di Melaka FM,” katanya kepada BH Online.

Adami ingin mencuba nasib sebagai penyanyi selepas sekian lama menyertai ppertandingan, menyanyi kenduri kahwin, karnival dan mengetengahkan lagu saduran dalam laman sosial. - Foto Adami Hairi
Adami ingin mencuba nasib sebagai penyanyi selepas sekian lama menyertai ppertandingan, menyanyi kenduri kahwin, karnival dan mengetengahkan lagu saduran dalam laman sosial. – Foto Adami Hairi

Biarpun terpaksa melalui laluan cukup lama sebelum berjaya menembusi pasaran ‘mainstream’, Adami berkata, dia tidak kisah walaupun pernah terbit kekecewaan kerana perjalanannya tidak selancar sesetengah penyanyi baharu lain.

“Tentulah, ada timbul perasaan kecewa, namun saya sentiasa menjadikan kekecewaan sebagai pembakar semangat. Tidak nafikan ramai bakat dan wajah baharu muncul, setiap hari

“Tetapi, saya tidak kisah, malah percaya kekuatan lagu yang dinyanyikan. Saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi, cuma saya berharap pendengar dapat menerima kehadiran saya dan karya,” katanya.

Penyanyi kelahiran Melaka itu berkata, Forte bermaksud ‘kuat’ dalam bahasa Itali bergenre pop latin. Ia ciptaan sepenuhnya Rosli Ahmad dan diterbitkan Radical Record Studio.

Sementara itu, Adami berkata, dia mahu mengembangkan sayapnya dalam dunia nyanyian, namun belum bersedia meninggalkan kerjaya sebagai penjawat awam.

Katanya, kerjayanya adalah sumber rezeki utama. Justeru, tidak mungkin akan meninggalkan kerjaya yang sudah terjamin buat masa ini.

“Saya kini perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya hakiki dan penyanyi. Cabaran utama adalah masa.

“Buat masa sekarang, saya ingin mendahulukan tugas hakiki kerana ini adalah sumber rezeki saya,” katanya.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *