KUALA LUMPUR: Penyampai radio Molek FM, Fizie Roslan disahkan positif COVID-19, petang semalam.
Bukan hanya Fizie, malah isterinya, Fatin Syarmimi Izzati Mohd Idris turut mengalami nasib yang sama.
Fizie berkata, dia bersyukur dua anaknya kini berada di Kelantan.
“Selepas dua tahun bertahan dan sedaya upaya melindungi diri, akhirnya saya tewas juga apabila dijangkiti COVID-19.
“Sebelum ini, saya takut mendengar rakan-rakan dalam industri seni terkena jangkitan COVID-19.
“Mujur, dua cahaya mata berada di Kelantan bercuti dengan nenek mereka. Tak dapat bayangkan jika mereka berada bersama saya dan isteri, kebarangkalian terkena jangkitan tidak mustahil,” katanya kepada BH Online.

Fizie atau nama sebenarnya, Mohamad Hafizie Roslan berkata, dia rasa tidak sedap badan, sejak Selasa lalu.
“Saya rasa nak demam, cuma sangkakan hanyalah sakit biasa.
“Akhirnya, saya putuskan untuk buat ujian calitan menerusi khidmat klinik bergerak,” katanya.
Fizie berkata, dia dan isteri akan melakukan kuarantin kendiri di rumah selama 10 hari.
Terdahulu, beberapa rakan artis seperti Azira Shafinaz, Luqman Faiz, Datuk Fizz Fairuz, Tasha Manshahar, Nadya Syahera dan ramai lagi disahkan positif, sejak beberapa hari ini.
Kredit: Berita Harian